Sembang Santai : PEMUDA ISMA Ajak Kenali Identiti Watan

BUTTERWORTH, 21 September-PEMUDA Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) telah menganjurkan program Sembang Santai bertempat di Pantai Robina pada Hari Malaysia, 16 September yang lalu. Mereka membincangkan satu topik yang sangat penting tetapi secara santai untuk sama-sama difikirkan iaitu ‘Malaysia Sebuah Identiti yang Terhakis’ melibatkan para pemuda sekitar Pulau Pinang.

“Kita semua sedia maklum, bangsa Melayu adalah penduduk asal dan merupakan kaum majoriti di Malaysia. Bahkan, suatu ketika dahulu bahasa Melayu menjadi lingua franca iaitu satu bahasa perdagangan yang digunakan oleh semua bangsa ketika itu. Jika sesebuah bangsa itu mempunyai kedudukan bahasa yang diguna pakai seantero dunia, maksudnya tentulah sesuatu bangsa itu mempunyai sebuah tamadun silam yang sangat hebat,” ujar saudara Fikri yang turut serta dalam program tersebut.

“Teori kedatangan orang Melayu ke tanah air yang paling popular adalah daripada kajian seorang Profesor Universiti Oxford. Sekitar tahun 80-an dan 90-an, beliau telah mengkaji genetik bangsa Melayu di seluruh dunia. Bangsa Melayu bertaburan di seluruh dunia dan membentuk penempatan mereka tersendiri. Hal ini terjadi, kerana sekitar 80000 tahun dahulu Nusantara ini adalah suatu Pentas Sunda. Daratan yang sangat luas. Maka, banyaklah berlaku migrasi dari kawasan Asia Barat, Eropah hatta Afrika ke kawasan Nusantara dan sebaliknya, ” ujar Ustaz Farid pula.

“Bangsa Melayu yang sangat disegani suatu  ketika dahulu ini, sangat istimewa dan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Pertama, bangsa Melayu sangat sinonim dan rapat dengan alam. Contoh, kita boleh perhatikan pada bait-bait pantun dahulu. Ada unsur buah, pokok, gunung, haiwan dan sebagainya. Semua itu ada sebabnya. Bukan saja-saja. Melalui karya bangsa Melayu sahaja sudah terserlah kebijaksanaan mereka. Bahkan, kewujudan nama saintifik pada tumbuhan dan haiwan juga ada berkaitan dengan nama orang Melayu. Namun sayang, penemuan tersebut tidak didokumentasikan,” ujar Cikgu Syafiq.

Tambah beliau lagi, ” Kekuatan bangsa Melayu yang kedua adalah disebabkan Islam. Melayu sangat sinonim dengan Islam. Bahkan, bumi bertuah ini diberkati asbab Islam. Perhatikan dunia sekeliling dengan isu Covid-19 kini. Kebanyakan negara di luar sana berdepan dengam gelombang Covid-19 yang sangat dahsyat. Amerika Syarikat sebuah negara paling maju pun tak terlepas dengan  tempias serangan makhluk ini. Tapi, Allah berkati negara kita yang tercinta ini. Semua ini adalah disebabkan nilai-nilai Islam yang kita amalkan. Selain itu, negara kita juga turut berdepan krisis ekonomi sekitar tahun 1998 dan 2008 sebelum ini. Lihatlah, bagaimana negara kita tidak terjejas begitu teruk seperti negara-negara lain. Kita turut terkesan tetapi kita kembali bangkit. Semua ini bukan suatu kebetulan. Tetapi adalah berkat Islam itu sendiri. Doa para alim ulama terdahulu. Negara tercinta ini terus dipelihara Allah s.w.t.,”ujar beliau lagi.

“Setiap individu mempunyai identiti masing-masing. Berat, ketinggian, raut wajah warna kulit, cap jari, malah iris anak mata pun tak sama. Begitu juga watan ini. Identiti Malaysia adalah Melayu dan Islam. Namun, ada usaha-usaha yang mengganggu gugat perlembagaan yang menjadi identiti istimewa tanah air ini. Inilah salah satu faktor yang merencatkan kehebatan bangsa Melayu kini,” tambah Ustaz Farid pula.

“Di Pulau Pinang ini, kini kita berdepan dengan suatu isu yang sangat perlu kita cakna. Iaitu projek pulau buatan yang kosnya bernilai hampir RM45 billion. Projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang. Impaknya bukan sahaja kepada alam sekitar bahkan turut menjejaskan pendapatan nelayan tempatan,” ujar Cikgu Syafiq lagi.