DODOL NAN SEGANTANG

  • Oleh: Maslinah Abdul Malek

Sudah 25 tahun sejak berita hitam itu menghempas jiwa kami. Ibarat puting beliung yang
meranap dan menyedut segala-galanya sekelip mata. Satu panggilan telefon menghantar
duka tidak berkesudahan.

Pecah empangan di kolam mata emak sewaktu ayah menyampaikan khabar
daripada kedutaan. Nazali yang merentasi benua ilmu di perantauan ghaib tanpa kesan!
Dikatakan, pada satu pagi yang malang Nazali keluar bersendirian untuk ke kelas dan
kemudian tidak pernah pulang.

Bermulalah episod ayah dan emak ke hulu ke hilir mencari Nazali. Orang besar
mana yang mereka tidak jumpa. Tangga pejabat mana yang mereka tidak daki. Wang
ringgit usah dikira, entah berapa banyak yang habis demi menjejak Nazali.

Sinar harapan ayah dan emak tidak kunjung malap. Saban tahun ayah mengacau
dodol kegemaran Nazali. Menggantung harap ada keajaiban menembusi teratak kami.
Namun benarlah, tiada siapa mampu mendahului takdir. Pada hari mata bengkak kami
menghantar jasad kaku ayah diturunkan ke liang lahad, itulah hari terakhir kami
menjamah dodol air tangan emak dan ayah. Ayah pergi beberapa detik selepas selesai
mengacau dodol pada petang hari raya. Membawa bersamanya harapan yang tidak
tertunai dan rindu yang tidak terlunas. Semenjak itu jualah, dodol resipi turun-temurun
moyang Abdul Salam ikut bersemadi bersama-sama jasad ayah.
Dan. Nazali tidak pulang-pulang.

Tiba-tiba, selepas berbelas-belas tahun ayah bersemadi, emak menyebut mahu
mengacau dodol. Dodol yang pernah menjadi juadah istimewa setiap kali raya. Dodol
yang telah tertimbus bersama jasad dan harapan ayah. Antara tujuh orang anak-anak
emak, Nazali dan Nadimlah yang paling menggemari dodol ini. Bukan dodol sahaja,
bahkan mereka berdua menyukai banyak perkara yang sama.

“Lima tahun Nadim tak balik beraya. Dia telefon mak, beritahu akan balik bercuti
raya haji nanti. Mak mahu buat kenduri doa selamat.”

Emak tahu, sudah sekian lama Nadim membunuh ingatan dan rindunya pada
dodol. Ghaib bersama jasad Nazali yang hilang entah ke mana. Nadim paling terkesan
dengan kehilangan Nazali lantaran akrabnya mereka berdua. Keliling kampung dengan
basikal, potong buluh cina buat senapang tembak caplom, meranduk sawah tangkap
puyu, sepat ronggeng atau lampam, atau mandi sungai sehingga Nadim hampir lemas
sebelum diselamatkan Nazali. Pendek kata, di mana ada Nazali, di situlah ada Nadim.

Bicara emak, kali ini biarlah emak berkorban. Biar emak semadikan pohon-pohon
kesedihan yang sudah tumbuh bertahun-tahun. Bukankah raya haji adalah tentang
pengorbanan? Sepertimana Nadim seorang perajurit berkorban bersumpah setia
menjaga negara. Tugas sentiasa menjadi perkara utama. Diberi kesempatan pulang ke
pangkuan keluarga seketika, suatu peluang yang perlu diraikan sebaiknya.

Emak tidak hiraukan lagi kakinya yang terketar-ketar pabila berjalan. Emak tidak
ambil pusing lutut dan pinggangnya yang sakit. Raya haji tahun ini, dodol mesti terhidang
di atas meja. Tak mengapalah Nazmir tidak dapat pulang untuk mengacau dodol. Emak
faham kesibukan anak lelaki sulungnya sebagai pengurus besar di ibu kota. Busu adik
emak yang tinggal selang beberapa meter dari rumah emak pun tak dapat bantu. Dia dan
isterinya Usu Raha akan bertandang ke rumah anak menantu. Mereka bakal menyambut
cucu sulung. Kandungan Ani sudah sarat benar, bila-bila masa sahaja boleh melahirkan.

Emak telefon Akob, mahu beli gula kabung. Gula kabung Akob paling sedap dan
molek untuk membuat dodol. Tepung, santan dan bahan lain, semua sudah emak
berkirim pesan pada Mastura, cucu Long Jamilah yang membuka kedai runcit di tepi
simpang jalan besar. Nanti barang-barang pesanan emak akan dihantar terus ke rumah.

Pokok rambutan renta di tepi pangkin menghala ke rumah Busu akan ditebang
buat modal kayu api. Emak sudah berpakat dengan Sopi dan Badar untuk membantu.
Kawah pusaka yang melewati usia emak sudah emak bersihkan, ditelangkupkan
menyandar ke dinding bangsal. Dua batang kayu pengacau dibalut dengan kain batik
bagi mengelakkannya disepuh debu. Batu bata untuk dibuat tungku sudah tersusun di
tepi jenang pintu bangsal. Semuanya sudah disiapkan pada minggu-minggu yang lalu.
Malam-malam yang menggugah. Mimpi tiba-tiba datang menggoncang hati emak!
Tiga hari berturut-turut Nazali muncul dalam lena emak, memeluk erat tubuh emak tanpa
sepatah kata. Emak bangkit daripada tidur menggetar istighfar yang panjang. Emak
hubungi semua anaknya yang tinggal berjauhan.

“Nazmir, Nawal, Nuha, Nilam, Nasriah … entah masa emak sudah tiba. Emak
halalkan susu yang mengalir di tubuh anak-anak. Emak halalkan semua jerih perih yang
berdenyut dalam nadi kedewasaan anak-anak. Hari ini emak sedang menikmati bonus
usia, esok lusa belum tentu.”

Mimpi itu meragut ramah dan nafsu emak. Selera makan emak merosot, emak
lebih mengakrabi sejadah dan kitab suci. Sebuah bingkai berisi gambar yang sudah
bertompok-tompok dan kabur dimamah waktu menjadi peneman setia emak. Emak tatap
gambar itu buat melepaskan rindu yang bersarang di dada. Rindu yang tidak mampu
menahan andai malaikat maut tiba melunaskan amanahnya!

“Emak, tak payahlah emak susah-susah. Nanti Nazmir minta Dahlia masakkan
dodol. Guna periuk tekanan di rumah ni, sepuluh minit sahaja sudah siap. Lepaslah untuk
hidangan kita anak-beranak hari raya nanti.”

“Hish! Mana pernah dibuat orang masak dodol sepuluh minit! Dodol, jiwanya
gotong-royong, kesatuan dan kecekalan. Makanan medan perang, lambang kecekalan
jiwa pejuang. Biarlah emak usahakan dengan orang-orang kampung. Lagipun emak
mahu kacau dodol warisan moyang kamu. Kena ikut resipi yang betul,” dan kami pun
tidak berani buka mulut lagi.

Zulhijah yang mengesot mula menebarkan riuh-rendah di rumah emak. Sopi dan
Badar sudah menebang pokok rambutan. Bersusun batang-batang kayu di dalam
bangsal yang dibina gemulah ayah. Bahan-bahan semua sudah tersedia. Akob juga
menjengah ke rumah emak, membantu itu dan ini. Bertambah kerap pula anak-anak
menelefon bertanya khabar lutut dan pinggang emak. Anak-anak emak hanya dapat
memijak rumah emak pada malam hari raya. Masing-masing terikat tugas dan kerja.

“Jangan risau akan emak. Emak gembira hari raya nanti kita semua dapat
berkumpul. Kalau memang sudah takdir emak tak dapat tatap wajah Nazali lagi, emak
reda. Emak harap anak-anak emak pun sama. Dodol pernah menjadi kenangan manis,
pernah juga menjadi kenangan pahit kita. Kali ini, biarlah yang pahit lebur menjadi manis.
Dodol menjadi saksi kasih sayang kita anak-beranak,” apalagi yang mampu dikatakan,
selain memanjatkan doa tidak putus-putus buat emak.

Hari yang dinanti emak pun tiba. Sopi, Akob dan Badar cekap menguruskan
semuanya. Emak siapkan bahan-bahan. Akob tuang santan, Sopi kacau isi kawah. Akob
masukkan gula kabong, Badar ikut ayun kayu ke depan ke belakang. Emak memerhati
dari tepi daun pintu dapur. Jiwa emak melayang. Emak pandang Akob, nampak susuk
ayah. Emak tenung Sopi, nampak wajah Nadim. Mata emak kalih ke Badar, nampak
keletah Nazali.

“Nazali, nanti kita lawan siapa yang makan dodol paling banyak tau! Mesti kau
kalah!”

“Eh, tengok kepalalah! Siapa dogol dialah juara makan dodol!” Nazali mengekek.

“Hoi, dahlah tu mencolek tak henti-henti! Alamat siap kacau dodol ni tinggal
setalam sajalah dodol aku!” ayah menyeringai.

Emak raup muka pabila terdengar Akob panggil. Tepung pulut, santan dan gula
kabung selamat bertukar menjadi dodol kenyal lemak manis. Segantang emak khususkan
untuk Nadim bawa pulang ke Sabah. Emak isikan dodol segantang itu ke dalam bekas
biru beralas daun pisang. Emak balut kemas dan simpan rapi dalam almari di sudut dapur.

Seorang demi seorang anak emak pulang, memeluk riuh rumah emak. Cucu emak
seramai 12 belas orang mendakap kasih sayang emak penuh bahagia. Emak senyum
dan tertawa, walaupun jiwa emak seakan terapung-apung.
“Nadim telefon tadi. Jangkanya sampai awal pagi esok. Emak berehat awal sikit
ya malam ni. Hal-hal dapur biar anak menantu uruskan,” Nazmir mengurut tangan emak
yang berkedut-kedut. Emak lena dalam belaian kasih seorang anak.
Emak terjaga menjelang dinihari. Kepala emak masih berdenyut, tetapi sedikit
lega. Emak gagahkan diri melazimi pengabdian.
“Ya Rahman, 25 tahun aku menggendong kesedihan. Tidak pernah putus berdoa
kepada-Mu, Ya Aziz Ya Jabbar. Tiga malam berturutan Nazali muncul dalam mimpi.
Apalah dayaku menebak petandanya,” emak pegang dada yang terasa pedih menahan
tujahan rindu menggila.

“Ya Rab, bertahun-tahun hamba-Mu yang kerdil ini menelan umpat keji orang. Ada
yang tuduh Nazali tergila-gilakan perempuan mat saleh. Mengata Nazali terjebak dengan
jenayah. Mencemuh Nazali tertekan dalam belajar lalu membawa diri. Walau di mana pun
Nazali berada di ceruk bumi-Mu, atau andai Nazali sudah kembali ke sisi-Mu, bersaksilah
aku reda sereda-redanya. aku ampunkan dosanya seikhlas hati.”

Wajah Nazali yang menjelma di pelupuk mata berganti wajah Nadim. Imej-imej
lampau menerpa bertubi-tubi.
“Mana boleh Nazali hilang! Dia dah janji nak belikan kasut Nike untuk Nadim!”
“Nazali tak kesian pada kitakah mak? Tak kesian pada Nadim? Kenapa Nazali
buat kita macam ni?
“Nadim akan jadi askar! Nanti Nazali pulang, Nadim akan tunjuk pada dia. Impian
dia untuk lihat Nadim jadi anggota tentera yang hebat akan tercapai. Ini janji Nadim, mak!”
Esak tangis tubuh remaja Nadim mencucuk-cucuk gegendang telinga emak.
Mendadak debar menyergap sudut jiwa.

Sejurus terdengar ketukan di pintu. Emak mengisar ke belakang. Sewaktu berdiri
membuka pintu, telekung emak tersangkut. Bingkai gambar rakaman foto Nazali dan
Nadim jatuh berkecai. Pegun. Ketukan bertalu-talu lagi. Pintu dikuak.
“Emak! Abang Nadim kemalangan!”

  • Cerpen ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian edisi Ahad, 9 Ogos 2020