Bagaimana hendak berhijrah?

Hakikat hijrah ialah perpindahan, iaitu dirujuk kepada penghijrahan para sahabat ke Habsyah dan paling utama penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar as-siddiq ke Madinah Munawarah. Peristiwa hijrah ini telah membuktikan para sahabat dengan relanya meninggalkan rumah, harta dan sanak saudara di Mekah demi perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Sebuah pengorbanan yang amat besar bertunjangkan keimanan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasulnya melebihi segala-galanya.

Firman Allah S.W.T :

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang baik kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui,                                       ,( Surah an-Nahlu : ayat 41 )

Selain itu, hijrah dari sudut maknawi iaitu berpindah dari keburukan kepada kebaikan. Hijrah dengan pengertian ini meliputi hijrah dari kekufuran menuju keimanan. Berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W, “Seorang Muslim adalah seorang yang menghindari menyakiti Muslim lainnya dengan lidah dan tangannya. Sedangkan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan semua apa yang dilarang oleh Allah”.                               (Shahih Bukhari, Kitabul Iman.)

Justeru itu, setiap individu perlu melakukan hijrah dalam pengertian maknawiah, walaupun sudah baik, kita tetap perlu melakukan hijrah kepada yang lebih baik.

Penghijrahan yang telah dilakukan Rasulullah S.A.W menjadi modul operasi dalam usaha untuk melaksanakan perubahan dalam kehidupan iaitu melihat kepada beberapa perkara antaranya:

1. Perancangan yang rapi

Rasulullah setelah diperintahkan Allah untuk berhijrah, terus mencari teman yang paling dipercayai untuk menemaninya. Bahkan perjalanan baginda bersama Saidina Abu Bakar dirahsiakan serta mengambil laluan yang jarang berlaku ketika pedagang untuk menuju ke Madinah. Tujuannya adalah untuk mengaburi orang kafir Quraisyh ketika itu.

2. Sokongan dalaman

Penghijrahan Rasulullah S.A.W telah disokong oleh bantuan Asma bintun Abu Bakar sebagai pembawa makanan ke Gua Thur walaupun dalam keadaan sarat mengandung tidak menjadi alasan penghalang untuk menjayakan misi perjuangan Islam. Begitu juga dengan Ammar bin Fuhairah yang ditugaskan membawa kambing ternakan untuk menutup tapak kaki laluan Baginda dan Saidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua tersebut. Semua ini menjadi bukti dalam membuat perubahan, kita amat memerlukan orang lain untuk membantu kita menjadi insan yang baik.

3. Faktor Sokongan Luaran

Kaum Muslimin di Madinah telah memberi jaminan untuk menjaga nyawa Rasulullah S.A.W melebihi daripada keluarga mereka sendiri.

Justeru itu, apabila kita hendak melakukan perubahan memerlukan beberapa elemen penting untuk berhijrah:

a. Niat dan matlamat kita adalah untuk mencari keredhaan Allah, tiada tujuan keduniaan. Sepertimana hadis tentang niat:

سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ صلى الله عليه وسلم یَقُولُ:  إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ

مَا نَوَى فَمَنْ كانت هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ                                                                                                رواه البخاري ومسلم

Artinya:  “Sesungguhnya amal seseorang itu tergantung dengan niatnya, dan bagi setiap orang balasannya sesuai dengan apa yang di niatkannya. Barangsiapa berhijrah dengan niat kepada Allah dan RasulNya, maka ia mendapatkan balasan hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, dan barangsiapa berhijrah dengan niat kepada keuntungan dunia yang akan diperolehnya, atau wanita yang akan dinikahinya, maka (ia mendapatkan balasan) hijrahnya kepada apa yang ia niatkan tersebut”.                                                             [Hadist Riwayat Bukhari & Muslim]

Kesimpulannya, niat selain daripada Allah akan melahirkan peribadi yang hanya mencari sebuah kehidupan yang sementara sahaja dan berbentuk material semata-mata. Seperti berniat untuk memakai tudung dengan harapan dipandang baik dan sopan sedangkan hakikat  menutup aurat adalah mentaati perintah Allah. Justeru itu, ilmu sangat diperlukan semasa kita ingin berhijrah.

b. Keazaman yang kuat

Keazaman ini telah dibuktikan oleh mereka yang telah berjaya pada zaman silam dan juga pada hari ini seperti Sahabat Baginda, Abdul Rahman bin Auf dengan berbekalkan beberapa keping wang telah menanam azam untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya sehingga mampu mengalahkan ekonomi orang Yahudi ketika itu. Begitu juga dengan Sultan Muhammad Al-Fateh dengan keazaman yang ditanam oleh ayahandanya serta yakin dengan janji Rasulullah S.A.W, akhirnya keazamannya untuk membuka kota Kostantinopel telah berjaya di takluki .

c. Suasana yang soleh

Dalam usaha untuk berubah, kita mesti mengetahui musuh utama yang akan menganggu dan berbisik-bisik dengan pelbagai alasan seperti “nantilah dulu, apa orang akan kata, belum sampai seru” dan berbagai lagi. Musuh tersebut pastinya adalah syaitan dan juga syaitan yang menyerupai manusia.

Firman Allah S.W.T :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala”                                                           (Surah Fathir: ayat 6)

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari

“Rasulullah S.A.W telah bercerita kepada sahabat perihal seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Lelaki tersebut telah berniat untuk bertaubat, beliau telah berjumpa dengan seorang abid, lantas abid tersebut menjawab, tiada keampunan untuk dosa tersebut. Lantas lelaki tersebut terus membunuh abid itu. Beliau terus berjalan dan lantas bertemu dengan seorang alim, dan menyatakan hasratnya untuk bertaubat dan beliau telah membunuh seramai 100 orang, Alim tersebut telah memberi nasihat agar beliau berhijrah dari kampungnya yang dipenuhi dengan kemungkaran dan kefasadan ke tempat yang baru dan suasana penduduk yang taat kepada perintah Allah, serta berpesan agar tetap tinggal di situ.

Ibrah dari kisah ini membuktikan bahawa pengaruh persekitaran, rakan sebaya dan anasir jahat akan menarik kita seperti tarikan sebuah magnet. Niat yang ikhlas serta keazaman yang kuat tetapi tanpa rakan yang baik, agak sukar untuk kita membuat perubahan. Oleh itu, tiga elemen ini sangat penting dalam usaha untuk kita membuat perubahan dalam jiwa kita.

Kesimpulannya, perubahan yang ingin kita lakukan mestilah perubahan secara sedar dan meyakini perubahan yang lebih baik ini akan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah S.W.T. Bahkan perubahan yang hendak dilakukan ini secara menyeluruh iaitu membuang saki baki jahiliyah dengan menggantikan cara hidup Islam yang hakiki. Tetapi jangan lupa kesabaran dan masa yang lama dalam membuat perubahan akan diganjari oleh Allah S.W.T.

Oleh Ustazah Norakhilah Baharin

Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara