Muwasafat Tarbiyah dalam sukan ragbi

Ragbi sering kali dilihat sebagai salah satu sukan yang kasar dan lasak tetapi di dalamnya mampu membentuk keperibadian seseorang serta terkandung ciri-ciri Muwasafat Tarbiah.

  1. Menghargai Masa

Tidak kiralah apa jua jenis sukan, ketepatan masa merupakan salah satu aspek terpenting yang perlu dipatuhi oleh atlet. Sukan ragbi merupakan sejenis sukan yang dimainkan secara berkumpulan. Sebagai salah seorang pemain ragbi, atlet diajar oleh jurulatih untuk sentiasa menepati masa tidak kiralah sama ada untuk latihan mahupun sesi perbincangan taktikal.

Peranan rakan sepasukan juga perlu saling menasihati sesama sendiri untuk hadir ke sesi latihan tepat pada masanya. Nilai-nilai seperti berdisiplin, semangat setia kawan dan juga menghargai masa jelas dipamerkan secara tidak langsung dalam sukan ini.

  • Tubuh Yang Cergas

Ragbi amat menekankan aspek kesihatan tubuh badan kerana sukan tersebut jelas dimainkan dengan cara ‘body-contact’ yang kasar. Para atlet dilatih untuk mengamalkan cara hidup yang sihat termasuk perlu menjalankan latihan ringan seperti berjoging walaupun di luar waktu latihan sehinggalah kepada pengambilan makanan yang sihat mengikut kalori dan kandungan minyak yang bersesuaian.

Kajian membuktikan jika seseorang atlet itu tidak melakukan sebarang aktiviti kardiovaskular dalam tempoh 48 jam, mereka berpotensi menghadapi komplikasi kejatuhan tahap stamina hingga 30%. Oleh itu, latihan konsisten yang diamalkan oleh atlet ragbi ternyata mampu mencergaskan tubuh badan.

  • Akhlak Yang Mantap

Meskipun ragbi merupakan sukan yang lasak, namun sikap yang harmoni dan beradab amatlah ditekankan. Sebagai contoh pemain adalah ditegah sama sekali untuk mengadu domba sama sendiri, memperlekehkan kumpulan yang lain dan sentiasa dinasihati untuk tidak meninggi diri sebaliknya “mengikut resmi padi”.

Selain itu, sukan ragbi juga telah membuktikan bahawa penekanan kebersihan diri dan alam merupakan sebuah aspek yang tidak boleh diketepikan apabila tular sekitar Mac 2019 sekumpulan pasukan ragbi daripada Jepun mengutip semua sampah termasuk puntung rokok di tempat pertandingan selepas tamat kejohanan tersebut. Jika orang bukan Islam berjaya menerapkan unsur-unsur positif di sebalik sukan, apatah lagi umat Nabi Muhammad S.A.W yang telah sedia maklum bahawa mengasihi alam adalah satu kewajipan dalam hidup kita.

  • Teratur urusannya

Atlet ragbi kebiasaannya mempunyai jadual aktiviti harian mereka tidak kiralah sepanjang tempoh kejohanan mahupun hari biasa. Dengan aktiviti yang padat, mereka perlu mempunyai tidur yang cukup, pengurusan diri yang baik di tempat kerja dan lain-lain.

Pemain ragbi bukanlah keseluruhannya bermain ragbi secara sepenuh masa seperti pemain profesional mahupun kebangsaan. Namun sebahagian besar hanya bermain sebagai hobi dan suka-suka. Oleh itu, kesemua mereka yang bermain ragbi di kelab telah dilatih untuk sama-sama membantu memudahkan urusan pihak pengurusan kelab agar semuanya berjalan lancar.

Urusan pertandingan juga telah didedahkan agar dijalankan secara telus yakni tidak melibatkan rasuah dalam apa-apa acara. Oleh itu, sukan ragbi ternyata telah mampu membimbing para atletnya agar dapat berurusan dalam apa jua keadaan secara teratur.

  • Melawan hawa nafsu

Atlet dinasihatkan untuk menjaga selera dan nafsu pemakanan terutamanya ketika menyambut perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan serta pada hari-hari biasa. Hal ini kerana atlet tidak boleh mengabaikan tanggungjawab tersebut supaya sentiasa berada dalam tahap terbaik menjelang kejohanan.

Selain itu, kajian saintifik menunjukkan bahawa perlakuan onani mampu menjatuhkan tahap kecergasan stamina hingga 70% setiap kali dilakukan. Oleh itu, sebarang aktiviti tidak bermoral akan menjejaskan atlet. Sukan ragbi juga mampu mengisi masa lapang individu agar tiada masa terluang dapat diisi dengan perkara tidak berfaedah.

Contohnya, masa petang yang kosong dapat diisi dengan aktiviti bermain ragbi bersama kawan-kawan dan pada malam hari seseorang itu akan tidur lebih awal akibat keletihan di siang hari.

Kesimpulannya, sukan ragbi merupakan satu sukan yang amat baik tidak kiralah dari aspek rohani mahupun jasmani. Setiap perkara pasti ada kekurangannya, begitu juga dengan sukan ragbi yang masih ada kekurangan seperti dari aspek penjagaan aurat yang sering dipandang enteng dan lain-lain.

Oleh Muhammad Syahril Baharuddin

Pemain Cougars Rugby Club

MRSM Balik Pulau