Sukan ragbi bentuk peribadi Pemimpin

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa sukan boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada kita. Walau bagaimanapun, sukan ragbi sering kali dianggap sebagai sukan yang berisiko tinggi, mencabar dan berbahaya apabila ada dalam kalangan pemain yang mengalami kecederaan yang serius selepas sesuatu permainan. Pengalaman menyertai pasukan ragbi peringkat sekolah banyak memberi ilmu baharu yang bukan sahaja melatih pemainnya menjadi seorang yang lasak, cergas dan berdisiplin tinggi malah sukan ini dapat menerapkan beberapa nilai-nilai yang penting bagi membentuk keperibadian seseorang untuk memimpin.

Nilai pertama ialah semangat berpasukan yang diterapkan sesama ahli pasukan. Hal ini amatlah penting supaya ada keserasian antara ahli pasukan semasa latihan dan pertandingan di padang. Sebagai contoh, apabila di antara ahli pasukan yang mempunyai masalah, maka rakan sepasukan akan cuba untuk menyelesaikan masalah dengan pelbagai cara. Begitulah juga sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin.

Keduanya, apabila sudah ada semangat berpasukan, akan mewujudkan suasana kasih sayang seorang pemimpin terhadap orang di bawahnya. Sikap keprihatinan seorang pemimpin akan menyenangkan ahli pasukannya yang lain. Jika tiada perasan kasih sayang, akan lahir sikap tidak prihatin daripada pemimpin dan penindasan akan berlaku kepada masyarakat. Jadi, mereka akan faham tentang kerjasama dan tahu kelemahan serta kekuatan ahli pasukan yang boleh memberi kebaikan kepada pasukan.

Seterusnya, nilai ketiga ialah strategi untuk menentang pihak lawan. Setiap pasukan mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Oleh itu, percaturan permainan merupakan antara kunci untuk menewaskan pihak lawan. Jadi, penyusunan strategi bukanlah perkara yang mudah. Perkara ini memerlukan kebijaksanaan dan pengalaman yang luas semua ahli pasukan terutamanya jurulatih dan ketua kumpulan.

Oleh yang demikian, perkara ini dapat dikaitkan dengan seorang pemimpin supaya bijak dan berpandangan jauh untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di bawah pimpinannya. Kebijaksanaan seorang pemimpin sangat memberi impak yang besar kepada sesebuah kerajaan. Selain itu, nilai yang ada pada setiap pemimpin ini juga akan menentukan hala tuju sesebuah organisasi atau negara dengan matlamat yang lebih jelas.

Akhir kalam, pastikan kita sentiasa berada dalam ketaatan dan keredaan Allah S.W.T dengan menjaga solat, menutup aurat dan menjaga adab-adab ketika bersukan. Banyak manfaat sukan ragbi yang boleh diambil dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya menggunakan masa hidup dengan melakukan perkara yang memberi manfaat kepada kita di akhirat kelak.

Oleh Muhammad Bukhari Kamal Ariffin

Pemain Cougars Rugby Club

MRSM Balik Pulau