Nikah PKPB: Siti Syafiqah, Mohd Rahimman selamat diijabkabulkan

PERMATANG PAUH, 8 Jun – Warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) mengucapkan tahniah buat Aktivis ISMA SPU, Siti Syafiqah Ahmad Yusoff dan pasangannya, Mohd Rahimman Ilias yang sah bergelar suami isteri pada hari Khamis 4 Jun 2020 bersamaan 12 Syawal 1441H.

Majlis akad nikah secara ringkas semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini berlangsung di Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bukit Mertajam.

Syafiqah meluahkan rasa syukur dan gembira apabila majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, syukur kerana majlis berjalan lancar walaupun terpaksa diuruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB. Sesungguhnya ini merupakan pengalaman yang sangat berharga buat saya dan pasangan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang terus mendoakan dari jauh dan mengirim hadiah. Walaupun tidak dapat meraikan bersama sahabat, tetapi keberadaan mereka sangat dirasai,

“Akad nikah berlangsung selama 20 minit bersama enam orang, iaitu kedua-dua pengantin, wali, juru nikah dan dua orang saksi. Keluarga terdekat yang lain tidak dibenarkan masuk semasa majlis diadakan. Kami perlu melalui prosedur SOP ketat termasuk pemakaian penutup mulut dan hidung, menggunakan pensanitasi tangan dan penjarakan sosial,” katanya.

Buat pengantin baru ini;

“Semoga Allah memberkati kalian dan melimpahkan barakah kepada kalian berdua, dan mengumpulkan kalian dalam kebaikan. Moga Allah mengurniakan kalian zuriat yang soleh dan solehah, yang akan membawa manfaat kepada Islam dan muslimin keseluruhannya”.

Semoga baitul muslim yang dibina dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah. Amin. InsyaAllah.