Tips Hafal Hadis Ke-9

Kesembilan: Kurang Kadar Hafalan Harian

Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda. Ini juga jalan yang dilalui oleh para Salaf al-Salih tatkala mereka mempelajari dan menghafal hadith Nabi s.a.w.

Berkata Imam Ibn ‘Atiyyah rhmllh; “Allah s.w.t menjadikan sebabnya turunnya wahyu secara beransur-ansur pada masanya untuk mengukuhkan hati Nabi Muhammad s.a.w dan hafalan Baginda”.

Imam al-Zuhri rhmllh menyatakan;

“Sesiapa yang mempelajari hadith sekali gus, maka ia akan hilang sekali gus. Sesungguhnya kami mempelajari satu hadith dan dua hadith”.

Antara peristiwa yang boleh dikongsikan juga bagaimana Imam Syu’bah ibn al-Hajjaj rhmllh berguru dengan Imam  Qatadah dan meminta meriwayatkan dua hadith dari beliau. Lalu Qatadah meriwayatkan seperti yang diminta. Lalu beliau bertanya; “Mahukah saya tambah lagi (hadith)?” Jawab Syu’bah; “Tidak perlu, sehinggalah saya menghafal kedua-dua hadith ini dengan baik”.

Konklusinya, setiap penuntut ilmu hendaklah menghadkan dirinya sesuai dengan tahap kemampuannya. Cubalah menghafal sehari 1-2 hadith. Jika mampu untuk menghafal lebih, silakan. Jangan kita merasa hina dan tidak bersemangat apabila lambat dan sedikit hafalan. Sebaliknya, kita perlu memandang kehadapan dan berusaha mendapatkan ilmu dengan cara yang terbaik.

Kredit: Mohd Solleh Ab. Razak

Calon Phd Hadith Universiti Sains Malaysia

Diringkaskan oleh Ustaz  Afifi Saleh bin Abdul Rahman