Memaknai Kalamullah

Sesiapa yang tidak memiliki ilmu, kefahaman,

taqwa dan tadabbur, dia tidak akan mendapat

 kelazatan Al-Quran sedikit pun.

 (Imam Az-Zarkasyi)

Al Quran adalah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.

Berapa ramai di antara kita sebagai ummat Nabi Muhammad yang mempunyai kesedaran tentang Al-Quran, dengan membacanya, memahaminya juga mengamalkan isi kandungannya. Terkandung padanya pelbagai pengajaran yang boleh diambil, untuk dijadikan panduan dalam kita menjalani kehidupan ini. Maka untuk itu, beruntunglah bagi mereka yg konsisten mengambil ibrah darinya.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman telah menghuraikan mafhum ayat 1-3 surah Taha yang berbunyi “Al Quran yang kami turunkan kepadamu wahai Muhammad, engkau hanyalah bertugas menyampaikannya. Sesiapa yang menurutnya selamatlah dia dan sesiapa yang ingkar, maka celakalah dia. Kerana orang yang takut melanggar perintah Allah itulah sahaja akan beroleh faedah dari peringatan, hidayah, dan petunjuk Al-Quran. Sedangkan yang tidak bersifat demikian, mereka tetap berdegil dalam keingkarannya.

Ketika kita membaca Al Quran, bayangkan sejenak kita berada di padang mahsyar pada hari kiamat. Suasananya cemas dan tempatnya sesak. Manusia dalam kesulitan dan kesedihan. Peluh sudah mencecah ke dahi. Ada yang sudah tenggelam dalam peluh. Tiba-tiba ada suara memanggil anda, “Wahai sahabat Al Quran, bacalah Al Quran dan naiklah ke syurga. Bacalah dengan tartil”.

Kemudian kita mula membaca ayat demi ayat. Semakin bertambah bacaan, semakin tinggi darjat kita di dalam syurga. Saat itu kita mengucapkan syukur. Alhamdulillah, aku telah memperoleh apa yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Dengan bayangan seperti itu, ia akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk membacanya bahkan memahaminya dengan lebih mendalam.

    Jadi untuk itu, tingkatkan usaha, sebab dan makna untuk apa kita membaca Al Quran serta memahaminya dan juga mengamalkannya. Semakin kuat usaha, makna dan sebab diberikan, maka akan semakin kuatlah tindakan untuk kita merealisasikannya.

Kita membaca Al-Quran di luar dan di dalam solat. Ada antara kita yang membacanya, tetapi tidak memahami maknanya. Ada yang membacanya, dan memahami tafsirnya. Sebenarnya untuk kita memahami maknanya adalah sangat dituntut. Dengan adanya iman, serta pemahaman, lantas diyakini dengan benar, maka akan lahirlah kekuatan dalam diri seseorang itu untuk mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran.

Mustafa as-Sibaei ada menyebut beberapa ungkapan mengenai Al-Quran di dalam kitabnya, antaranya ialah i)Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal. ii)Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain. iii)Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung. iv)Al-Quran di tangan-tangan orang Islam ibarat senjata di tangan orang-orang jahil.

Untuk itu, ayuhlah kita bersungguh-sungguh membaca, memahami, serta mentadabbur isi kandungan ayat Al-Quran supaya kita berbahagia di akhirat kelak.

– Salam Nuzul Al-Quran serta salam Ramadhan 1441 h –

Oleh Norkamaliah bt Daud

Ahli ISMA Seberang Perai Utara

Rujukan:

-Tafsir pimpinan Arrahman

-Mustafa Assibaie

– Inovasi NLP Pelonjak Prestasi Diri