Virus paling kronik

Hebatnya kuasa Allah. Allah memperingatkan bahawa tidak sukar untuk menghancurkan seluruh muka bumi milik-Nya. Virus Covid-19 dikatakan paling kecil dan halus, sukar untuk dilihat oleh mata makhluk yang bergelar manusia dan hanya boleh dilihat melalui ujian makmal kesihatan. Saban hari, setiap detik, virus ini menular, sangat cepat. Virus ini boleh meragut ribuan nyawa manusia walaupun virus ini hanya makhluk kecil.

Allah itu Maha Kuasa, jangan pandang rendah terhadap ciptaan Allah. Betapa agungnya ciptaan itu mampu meruntuhkan segenap manusia serta meruntuhkan sistem ekonomi yang dibanggakan sejak dahulu kala. Manusia saling mengejar untuk mencapai angkasa, mencipta sejarah, sehingga lupa kuasa Allah yang lebih tinggi.

Virus Covid-19 ini mampu dilihat dan dikira melalui bilangan dan tahap bahayanya kepada manusia. Namun, ada lagi virus yang paling bahaya dan paling kronik dalam setiap diri manusia yang tidak boleh dikira, dilihat, dirasa, disentuh iaitu virus yang terpahat di hati manusia. Virus ini mampu untuk membunuh jiwa manusia tanpa terkena sentuhan dari individu yang lain. Rawatannya tiada di hospital, tambahan ubatnya tidak perlu kerana virus ini paling kronik sehingga doktor pun tiada ubatnya.

Virus ini adalah virus yang memecahbelahkan umat manusia, hadir dalam setiap jiwa-jiwa yang tidak tenang. Jauh hubungannnya dengan Allah sehingga tiada rasa hormat dan saling sayang menyayangi sesama manusia. Lahir penyakit hasad dengki yang tertanam dalam hati, saling membenci sesama manusia, serta berusaha menjatuhkan air muka orang lain. Selongkar segala kelemahan yang ada walaupun tiada, menghasut masyarakat mencipta sejarah baru. Penyakit yang mematikan ikatan hubungan persaudaraan.

Ingat, virus ini yang bakal mematikan setiap umat manusia.

 “Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri mereka sendiri tanpa mereka sedar.(9) Dalam hati mereka ada penyakit (syak dan hasad dengki) lalu Allah menambah penyakit mereka itu; dan mereka mendapat azab yang pedih kerana berdusta.(10) Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Janganlah membuat kerosakan di bumi!” Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang melakukan kebaikan.”(11) Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”(12). (Surah al-Baqarah : 9-12)

Apabila manusia sentiasa meletakkan dunia no 1, mereka lupa akan nikmat Allah yang lainnya dan ketika itu Allah tarik nikmat yang diberi sedikit demi sedikit. Lalu hadirlah penyakit hati yang semakin lama semakin menyakitkan. Apabila tersedar, carilah penawarnya di tikar sejadah, hanya Allah yang mampu merawatnya.

Virus Covid-19 memang merbahaya kepada nyawa manusia, tetapi lagi bahaya virus dari hati ini kerana tidak ada simptom dan penawar dari makmal untuk ujian dan saringan.

Semoga Allah lindungi kita dari dua penyakit tersebut.

#StayClaim

#StayAtHome

#StayWithAllah

#StayPositiveThinking

Oleh Noorfazila Ramli

Ahli ISMA Seberang Perai Utara