Tips Hafal Hadis Ke-5

Kelima: Memilih Waktu yang Sesuai untuk Menghafal

Berdasarkan pengalaman para ulama terdahulu, waktu yang paling sesuai dan berkesan secara umumnya ialah pada waktu malam dan waktu fajar. Lebih khusus lagi untuk “malam”, pada akhir malam iaitu waktu sahur sebelum fajar.

Imam al-Mundzir rhmllh pernah menasihati anaknya al-Nu’man:

“Wahai anakku, saya suka kamu memerhatikan dengan teliti dalam persoalan adab pada malam hari. Sesungguhnya hati pada siang hari berterbangan dan pada malam hari ia menjadi tenang. Oleh itu, setiap kali kamu memahami sesuatu perkara, maka ikatlah ia dengan cara mengahafal”.

Imam al-Khatib al-Baghdadi rhmllh juga berpendapat bahawa para ulama memilih malam untuk menelaah pelajaran kerana waktu itu hati sedang kosong. Sesungguhnya kekosongan hati itu akan mempercepatkan hafalan.

Imam Abu Mas’ud Ahmad bin Furat rhmllh berkata:

“Hafalan pada malam hari lebih mantap berbanding hafalan pada siang hari”.

Pun begitu, ambillah peluang ketika waktu lapang tak kira waktu mana sekalipun untuk kita membaca atau menuntut ilmu. Paling tidak kita telah berjaya menimba beberapa perkara untuk kita hadam dan tumpukan pada waktu khusus nanti.

Kredit: Mohd Solleh Ab. Razak

Calon Phd Hadith Universiti Sains Mailaysia

Diringkaskan oleh Ustaz Afifi Saleh bin Abdul Rahman