Taat kepada Pemimpin, sifat Muslim sejati

Firman Allah S.W.T:
يأيهاالذينءامنواأطيعواالله وأطيعواالرسول وأولى الامرمنكم

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu”.(An-Nisa:59)

Berdasarkan ayat di atas, seruan ketaatan kepada pemimpin adalah selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Bermakna, ketaatan ini sangat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan negara agar menjadi Baldatan tayyibatan wa rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT)

Dalam suasana negara menghadapi dugaan Covid-19 ini, sewajarnya semua masyarakat perlu patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana arahan datang daripada pemimpin untuk kebaikan semua. Sesebuah negara akan hancur apabila ahli atau anggota gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan ketaatan kepada ketua, pemimpin dan negara. Ketidakpatuhan kepada arahan pimpinan ini akan mengundang bala dan risiko yang tidak diingini.

Suruhan taat kepada pemimpin ini banyak terdapat di dalam hadis Rasulullah S.A.W, di antaranya:

1. Daripada Abdullah RA, daripada Nabi S.A.W bersabda :”Mendengar dan mentaati (Pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.”  (Mutta faqun Alaihy, hadith riwayat al-Bukhari : 7144, Muslim : 1839, Abu Dawud : 2626, At-Tirmizi : 1707)

Matan Hadith :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

صحيح البخاري , كتاب الأحكام , باب السمع والطاعة للإمام ما لم تكن معصية , حديث رقم ]

2. “Sesiapa taat kepada Pemimpin, maka dia telah taat kepada-ku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepada-ku”. (HR Bukhari No. 2957)

3. “Kamu wajib patuh dan setia, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu”. (HR. Muslim No. 1836)

4. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W: Ya Nabi Allah, bagaimana menurutmu jika para penguasa yang memimpin kami yang selalu mengutamakan hak mereka tetapi mereka tidak bersedia memenuhi hak kami? Nabi menjawab: “Tunduk dan patuhlah kamu, sesungguhnya mereka akan bertanggungjawab atas kepimpinannya, manakala kamu juga akan bertanggungjawab terhadap ketaatan kamu kepadanya”. (HR. Muslim No. 1846)

Peranan Ibu Bapa dan Guru  dalam mendidik generasi yang taat kepada Pemimpin

Dalam  suasana hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak taat dan patuh kepada arahan pimpinan khasnya arahan PKP di musim Covid-19. Ketidakpatuhan ini terjadi dalam kalangan orang dewasa dan juga para remaja. Sikap ini amat sangat dikesali. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil pengajaran dari Negara-negara lain yang lebih teruk dilanda wabak ini agar tidak mengulangi sikap yang sama atau kita akan menurut  jejak langkah mereka ke arah penularan yang tidak dapat dibendung.

Sebaiknya, gunakan ruang dan peluang  semasa PKP ini untuk berperanan mendidik anak-anak agar menjadi insan yang taat dan patuh kepada Allah, Rasul dan pemimpin kita. Manfaatkan anugerah masa yang dikurniakan kepada kita untuk saling nasihat menasihati sesama ahli keluarga tentang kepentingan taat dengan mengadakan tazkirah, usrah keluarga dan seumpamanya.

Guru juga berperanan untuk menasihati anak muridnya melalui alam maya agar menjadi individu yang taat kepada ibu bapa, guru dan pemimpin. Di samping membuat kelas e-pembelajaran, guru boleh menyelit nasihat dan teguran kepada mereka agar taat dan patuh kepada arahan Ibu bapa, guru dan pemimpin negara terutamanya ketika melaksanakan perintah Allah seperti solat, perintah guru untuk belajar dari rumah dan perintah untuk “STAY AT HOME”.

Pengajaran Al-Quran dan hadis tentang ketaatan

  1. Kewajipan mendengar dan mentaati adalah tanda kehebatan seseorang Muslim kerana dengan memiliki sifat tersebut akan menjadi sebab nusrah (bantuan) Allah S.W.T kepadanya, contohnya bantuan untuk menghilangkan Covid-19.
  2. Setiap Muslim dituntut untuk bersabar dalam mentaati perintah ketua atau pemimpinnya sekalipun perintah tersebut berlawanan dengan kehendaknya yang menjurus ke arah kebaikan. Tetapi, jika perintah tersebut ke arah kebatilan, maka tidaklah wajib mentaatinya.
  3. Nabi S.A.W telah memberi peringatan mengenai balasan buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang yang tidak mengikuti dan mentaati pemimpin serta yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan Muslimin.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar segera mengangkat wabak Covid-19 dari bumi Malaysia khasnya dan dunia amnya. Semoga Madrasah Covid-19 ini akan melahirkan insan yang lebih taat kepada-NYa dan terus memperjuangkan agama-NYa.

Oleh Ustazah Norhayati Abdul Wahab

Aktivis ISMA Seberang Perai Utara