Semarak Ramadan bersama keluarga

Tahun 2020 ini menyaksikan keadaan panik di mana hampir seluruh dunia dilanda musibah yang dikenali sebagai virus korona atau Covid-19. Di negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima tempias wabak ini. Ketika artikel ini ditulis, seluruh Malaysia sedang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah pun memasuki minggu yang ke-3 pelaksanaannya. Sehingga 5hb April 2020, sebanyak 3662 kes positif dan sebanyak 61 kematian telah direkodkan.

Namun di sebalik keadaan panik ini, kebanyakan daripada umat Islam di negara ini mungkin terlepas pandangan atau tidak merasai akan hadirnya bulan yang istimewa dalam kalendar Islam iaitu bulan Ramadan, suatu bulan di mana di dalamnya Allah S.W.T kurniakan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sedar atau tidak kita sudah berada di pertengahan bulan Sya’ban dan Ramadan semakin menghampiri kita.

Di sini dikongsikan beberapa tips yang boleh dilakukan sepanjang tempoh PKP bersama-sama keluarga sebagai persiapan kita menyambut Ramadan dalam suasana yang mungkin amat berlainan daripada Ramadan yang pernah kita lalui sebelum ini.

Pertama: melazimi diri dan ahli keluarga dengan berpuasa sunat. Selain mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan kita, berpuasa sunat sebelum ketibaan Ramadan merupakan praktis yang baik untuk kita membina momentum menahan diri daripada melakukan larangan Allah S.W.T ketika dalam tempoh berpuasa. Malah praktis ini juga dianjurkan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang mafhumnya: “Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1812].

Kedua: bertadarus al-Quran secara individu atau bersama ahli keluarga. Selain berpuasa, bulan Ramadan juga sinonim dengan aktiviti tadarus atau tilawah al-Quran dengan kadar kebiasaan sehari satu juzuk al-Quran yang dibaca atau dikhatamkan. Oleh itu sebagai permulaan untuk mendapatkan momentum bertadarus, kita boleh mulakan dengan formula membaca dua (2) muka surat setiap kali lepas solat fardhu. Dengan cara ini kita akan dapat mencapai separuh juzuk dibaca dalam sehari.

Ketiga: menyediakan satu waktu dalam sehari untuk menonton sesi kuliah atau tazkirah secara atas talian. Dalam tempoh PKP ini, terdapat banyak sesi kuliah dan tazkirah secara atas talian (online) berlegar di media sosial seperti di Facebook, Youtube, Instagram dan sebagainya. Jadi eloklah kiranya waktu yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk menimba ilmu agama di samping kita mewujudkan suasana majlis ilmu dalam keluarga.

Keempat: bersedekah atau menginfaqkan harta mengikut kemampuan. Dalam mengharungi tempoh yang sukar ini, ramai dalam kalangan kita telah menghadapi kesukaran dan kesusahan. Ada yang ahli keluarga terkena jangkitan wabak, ada juga yang terputus sumber pendapatan dan sebagainya. Justeru, infaqlah harta mengikut kemampuan kepada golongan yang memerlukan.

Akhirnya, sebagai seorang Muslim yang cintakan Allah S.W.T dan Rasul-Nya, kita seharusnya tidak mengabaikan persiapan dan persediaan kita untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan walaupun kita berada dalam tempoh yang sukar ini.

Oleh Hasbul Hadi Ishak

Ahli ISMA Seberang Perai Utara