Rezeki Mukmin bertaqwa seperti kisah si Bughath

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺍﺭﺯُﻗﻨَﺎ ﻛَﻤَﺎ ﺗَﺮﺯُﻕُ ﺍﻟﺒُﻐَﺎﺙََ

Maksudnya; “Ya Allah, berilah aku rezeki sebagaimana Engkau memberi rezeki kepada bughath”.

Tahukah apa yang dimaksudkan dengan Bughath? Bughath adalah anak burung pemakan bangkai atau di Malaysia dikenali sebagai gagak.

Selepas telur gagak ini menetas, anaknya tidak sama seperti gagak kerana belum mempunyai bulu. Jadi, ibunya tidak mempedulikannya.

Oleh itu, anak gagak ini tidak berkemampuan untuk banyak bergerak, apatah lagi untuk terbang dan mencari makanan sendiri.

Lalu bagaimana ia makan dan minum? Sesungguhnya, Allahlah Yang Maha Pemberi Rezeki. Dialah yang menciptakan makhluk dan berhak memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki.

Jadi, Allah telah menciptakan aroma yang keluar daripada tubuh Bughath tersebut sehingga mengundang serangga dan ulat datang ke sarangnya. Bughath memakan serangga dan ulat-ulat tersebut. Keadaan itu berterusan sehingga anak gagak itu dewasa dan boleh berdikari untuk terbang mencari makanan sendiri.

Aroma yang keluar daripada tubuh anak gagak tadi mula hilang selari dengan tumbesaran anak gagak tadi hingga dewasa.

Itulah Allah yang Maha menjamin rezeki sesuai dengan firman-Nya dalam Surah Az-Zukhruf ayat 32:

… نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَّعِيشَتَهُمْ فِى الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Kamilah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia”.

Percayalah bahawa rezeki akan ada walau di mana pun kita berada selagi kita menjaga ketakwaan kita kepada Allah, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud

“Sesungguhnya Malaikat Jibril membisikkan di dalam qalbuku bahwa seseorang tidak akan meninggal sampai sempurna seluruh rezekinya. Ketahuilah, bertaqwalah kepada Allah, dan perindahlah caramu meminta kepada Allah. Jangan sampai keterlambatan datangnya rezeki membuatmu mencarinya dengan cara bermaksiat kepada Allah. Sesungguhnya tidak akan didapatkan sesuatu yang ada di sisi Allah kecuali dengan menta’atinya.”

Demikianlah Allah menjamin rezeki setiap makhluknya. Maka, kita tidak boleh berputus asa, ambil peduli soal halal haram dan cara rezeki itu diperoleh serta bersyukur meskipun hakikatnya manusia sebenarnya tidak pernah berasa cukup dalam mensyukuri nikmat Allah.

Oleh Norfaiezah A.Rahman

Ahli ISMA Seberang Perai Utara