Tips Hafal Hadis Ke-3

Ketiga: Menjauhi Perbuatan yang Haram dan Larangan Allah s.w.t.

Hati yang ‘seronok’ menghirup keasyikan maksiat tidak mungkin dapat mengecapi nikmat hadith Nabi s.a.w. Setiap kali hati terkesan dengan maksiat, maka lemahlah daya ingatan untuk menghafal kalam Baginda s.a.w.

Abdullah bin Mas’ud r.a pernah berkata;

“Sesungguhnya aku percaya bahawa seseorang akan lupa terhadap ilmunya disebabkan kejahatan yang telah dia lakukan”

Imam Waki’ rhmllh menasihati muridnya Ali bin Khasram ketika mendengar aduan berkenaan masalah hafalannya. Kata beliau;

“Mintalah bantuan untuk (kuatkan) hafalan kamu dengan (cara) kurangkan dosa-dosa”.

Namun, jangan kita tertipu dan terpedaya dengan bisikan iblis terhadap segelintir penuntut ilmu yang tetap cemerlang meskipun bergelumang dalam maksiat.

Dalam hal ini, Nabi s.a.w menyifatkan sebagai istidraj dan firman Allah s.w.t dalam surah al-An’am ayat 44;

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.

Kredit: Mohd Solleh Ab. Razak

Calon Phd Hadith Universiti Sains Mailaysia

Diringkaskan oleh Ustaz Afifi Saleh bin Abdul Rahman