Poster Menteri guna tulisan Tamil: bukan isu remeh dan Politik

Pemuda ISMA Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa tidak sepatutnya seorang Menteri yang merupakan kakitangan kerajaan menggunakan tulisan Tamil dalam urusan rasmi kerajaan. Perkara tersebut bukan isu remeh dan isu politik, tetapi ianya lebih kepada isu melambangkan jati diri kita sebagai warganegara Malaysia. 

Negara Malaysia sudah 63 tahun merdeka malah di dalam Perlembagaan juga telah termaktub bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Kebangsaan apatah lagi jika melibatkan urusan rasmi kerajaan.

Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dilakukan dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kerana sebahagian daripada mereka menggunakan selain bahasa Melayu sebagai urusan rasmi kerajaan. Hal ini sangatlah tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pemuda ISMA sekali lagi ini menegaskan bahawa, Menteri yang bukan beragama Islam yang telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri untuk sentiasa menggunakan bahasa Melayu di dalam urusan rasmi kerajaan dan jangan anggap ini adalah isu remeh. Sebagaimana pepatah Melayu mengatakan, kalau masuk ke kandang kerbau kenalah menguak, masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke rumah orang kenalah menyesuaikan diri dengan tatasusila tuan rumah.

Ketua Pemuda MIC R Thinalan yang menganggap isu ini adalah isu remeh adalah sangat tidak berasas. Kita tidak pernah menganggap perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan adalah isu remeh. Setiap negara ada bahasa dan tulisan rasmi negara masing-masing. Adakah Malaysia tidak ada bahasanya yang tersendiri?

Dengan keadaan negara sedang menghadapi Covid-19, jangan mengambil kesempatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangguk di air yang keruh. Ingat, rakyat sentiasa memerhatikan anda.

Muhamad Zulazmi Saidin

Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang