Nikmat yang ditarik

Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T kerana memberi nikmat kesihatan serta kesempatan ini. Tulisan ini bukan semata-mata untuk sahabat beragama Islam sahaja tetapi boleh dimanfaatkan kepada semua ahli keluarga dan sahabat saya daripada agama-agama lain. 

Ramai yang sedang mengeluh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini dengan hujah mengatakan banyak nikmat yang ditarik ALLAH S.W.T sepanjang kita terkurung dalam rumah. 

Namun begitu, kita perlulah meyakini bahawa setiap sesuatu yang ditakdirkan ini mempunyai hikmah di sebaliknya dan merupakan salah satu nikmat daripada-Nya.

Ramai juga kenalan saya yang merungut sepanjang PKP tidak dapat beribadah seperti sediakala. Mereka beranggapan bahawa ibadah itu hanya boleh dilaksanakan di dalam masjid sahaja. Ramai juga yang berasa bosan katanya apabila berada dalam rumah. 

Di sini saya ingin mengingatkan kepada semua yang ibadah bukanlah berbentuk juz’iyyah yang tertakluk kepada tempat dan masa tertentu. 

Teruskan beribadah ketika orang lain berkata Nikmat itu ditarik oleh Tuhan. Banyak amal ibadah yang boleh kita lakukan sepanjang PKP yang mendekatkan kita kepada Tuhan semesta alam.

Tidak dinafikan ramai cendekiawan yang bercerita panjang lebar tentang perkara yang boleh kita lakukan sepanjang PKP. Perkara yang ingin saya ingin tekankan di sini tentang penjagaan hubungan silaturahim kita bersama ibu bapa. 

Islam memandang tinggi kedudukan ibu bapa sehinggalah ALLAH memberikan wasiat kepada para hamba-Nya supaya berlaku baik kepada kedua ibu bapanya

Selain itu terdapat juga hadis daripada sahabat Anas bin Malik, sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Syurga itu terletak di bawah telapak kaki para ibu.

Bukan setakat agama Islam sahaja meminta umatnya berbuat baik kepada kedua orang tuanya tetapi boleh dikatakan kesemua agama meletakkan teras agar berbakti kepada mereka itu amalan yang ditekankan dalam agama masing-masing. Di bawah ini saya sertakan beberapa huraian berkaitan hubungan kita terhadap kedua ibu bapa yang perlu diambil berat.

Agama hindu:

Terdapat istilah Konsep (keutamaan) Ibadah dalam agama hindu iaitu tempat/orang prioriti yang perlu dipegang oleh penganut hindu disenaraikan seperti:

1. Matha (ibu) 

2. Pitha (bapa) 

3. Guru (cikgu/pendeta) 

4. Dewa 

Mengikut konsep ibadah di atas menyanjungi ibu bapa pada martabat yang sangat tinggi dalam agama hindu. 

Selain itu dalam buku karya etika Tamil berjudul Tirukkural ciptaan seorang penyajak Tamil Agung bernama Tiru-Valluvar dinukilkan:

பெரியாரைப் பேணாது ஒழுகின் பெரியாரால்

பேரா இடுபை தரும்

(Periyarap penathu ozhukin periyaral; pera itumpai tharum) [Kural:892]

Bermaksud: Jika seseorang berkelakuan buruk dengan tidak menghormati sangat dan menyanjungi tinggi orang-orang tua/mulia, ianya akan mendatangkan penderitaan yang tidak berhenti-henti sepanjang masa kepadanya.

Agama Kristian:

Di dalam buku Deuteronomy (disebut sebagai buku Ulangan dalam bible bahasa Melayu) chapter 27 petikan yang berbincang tentang Dua Belas Ucapan Kutuk iaitu perintah daripada Moses (Musa as) kepada Bani Israel untuk di-aminkan, ianya dikarang dalam ayat ke 16 berbunyi:

God’s curse on anyone who dishonours his father or mother

Maksud: Kemurkaan Tuhan terhadap sesiapa yang tidak menghormati ibu bapa

Ayat di atas menggambarkan perlunya umat Kristian menghargai kehadiran ibu bapa serta perlu menghormati dan mentaati mereka. 

Agama Buddha:

Menjadi adat resam masyarakat cina mengumpulkan sanak saudara pada malam Tahun Baru Cina untuk makan besar bersama-sama. Adat ini sangat sinonim juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta mendekati orang tua. 

Selain itu, semasa upacara perkahwinan mereka juga ada satu majlis dipanggil Ceremony Tea di mana pengantin perempuan akan disajikan air teh oleh ibu bapa/orang tua untuk diminum. Upacara ini difahami masyarakat cina ianya satu penerimaan si isteri akan ibu bapa si suami dan menghormati mereka sebagai ibu bapa sendiri.

Bagi mereka yang tinggal serumah bersama ibu dan bapa, teruskan berbakti dengan:

1. Berbakti kepada kedua orang tua untuk mendapatkan restu dan reda kedua ibu bapa. Mendengar cakap ibu bapa dan menurutinya pun sudah mencukupi untuk raih pahala. 

Daripada ‘Abdulah bin ‘Amru ra, Rasululah saw bersabda:

رِضى اللَّهِ في رِضى الوالِدَينِ، وسَخَطُ اللَّهِ في سَخَطِ الوالدينِ

Maksud: Redha ALLAH terletak pada redha kedua ibu bapa dan kemurkaan ALLAH terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa. (Sohih ibnu Hibban) 

2. Senyum melihat wajah ibu bapa ketika waktu pagi. 

3. Menyediakan keperluan makanan yang mencukupi untuk mereka. Lagi cantik jika dapat kita suapkan makanan itu ke mulut mereka. 

4. Sentiasa bersalaman walaupun di dalam rumah. Bukan apabila mahu keluar rumah sahaja.

Bagi mereka yang tinggal berjauhan daripada kedua orang tuanya bolehlah:

1. Kerap membuat panggilan telefon bertanya khabar mak ayah di kampung. Banyak plan rangkaian yang menyediakan panggilan percuma membolehkan kita ber’gayut’ dengan ibu bapa bagi membuktikan kecintaan kita terhadap mereka. Kalau tidak mampu setiap hari, memadailah selang sehari atau pun dua kali seminggu untuk berhubung dengan mereka. Ingat, hidup berkat seorang anak datang daripada redha ibu bapanya.

2. Pesan makanan secara atas talian atau COD kerana ramai yang membuat servis penghantaran makanan serta barangan ke rumah. Ini juga salah satu cara menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa.

3. Mendoakan kesejahteraan mereka. Antara doa yang mustajab di sisi Tuhan datang daripada doa anak yang soleh dan penuh khusyuk kepada-Nya.

Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada ALLAH S.W.T mengeluarkan kita daripada wabak Covid-19 dan mengurniakan kita sihat, afiyat serta hidayah-Nya.

Oleh Ustaz Muhammad Syazwan Menon

Timbalan Pengerusi Peace

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *