Motivasi menjaga masa

Sudah genap 21 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada jiwa yang terseksa  terpenjara di rumah sendiri akibat Covid-19. Meter keresahan bertambah apabila tempoh PKP dilanjutkan kepada 14 April 2020. Katanya sudah bosan duduk di rumah, asyik makan dan tidur sahaja. Pastinya semua ini akan berlaku jika masa tidak diurus dengan baik.

“Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang”(Imam al-Bukhari)

Awas! Orang yang mensia-siakan masa merupakan golongan yang tertipu dan terpedaya. Dalam buku “Masa peliharalah” tulisan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri banyak mengisahkan kepentingan penggunaan masa dengan baik.

Imam Fakhruddin Al-Razi berkata :“Demi Allah, saya benar-benar berduka kerana hilangnya waktu yang saya gunakan untuk makan. Waktu tersebut semestinya boleh digunakan untuk menekuni ilmu. Sesungguhnya waktu itu amat berharga nilainya.” 

Daud al-Tha’i selalu terus menelan potongan roti yang dicelupkan ke dalam sup. Beliau berkata :“Antara sekali menelan dan mengunyah roti, perbandingannya adalah bacaan lima puluh ayat.”

Kerdilnya diri kita jika dibandingkan dengan Imam Fakhruddin al-Razi dan Daud al-Tha’i. Kita sering menjadikan makan agenda utama seharian. Rata-rata manusia membenarkan slogan “hidup untuk makan” ke atas dirinya. Apa sahaja yang tular, pasti dicari dan dicubanya walaupun terpaksa ke negeri orang.

Imam Malik Rahimahullah berkata: “Setiap kali aku berkunjung ke rumah Jaafar bin Muhammad, dia selalu berada dalam salah satu daripada tiga perkara. Sama ada sedang solat, membaca al-Quran ataupun berzikir kepada Allah.” SubhanAllah.

Hebatnya Jaafar bin Muhammad dalam memelihara masa. Tidak ada satu detik dari masanya dibazirkan atau disia-siakan. Begitulah beruntungnya bagi orang-orang yang di anugerahi halawatul iman (kemanisan iman).

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani Rahimahullah bercerita berkenaan gurunya, Syeikh Zakaria al-Ansari: “Selama 20 tahun aku berkhidmat kepadanya, belum pernah aku melihat beliau dalam kelalaian atau melakukan sesuatu yang tidak berfaedah. Jika seorang tetamu duduk terlalu lama, beliau dengan tegas berkata,” Kamu telah membuang masaku.”

Hebat susuk-susuk tubuh ini dalam memelihara masa. Mereka tidak membenarkan masa mereka diambil apatah lagi mereka mengambil masa orang lain. Berbual kosong atau menghabiskan masa berjam-jam lamanya dengan facebook, whatsapp dan twitter perlulah dijauhi kerana ia akan membuatkan kita suka bertangguh dan bertambah malas untuk melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan. Orang yang berakal sihat sudah tentu mampu memanfaatkan perjalanan masa dengan baik dan sudah tentu tidak ada istilah bosan dalam kehidupan mereka.

Untuk memastikan masa dapat diurus dengan baik, semestinya kita perlu merancang aktiviti harian dengan menyediakan jadual harian. Jadual tersebut boleh ditampal pada sudut mudah dilihat oleh seisi keluarga. Antara aktiviti yang dapat dimanfaatkan semasa tempoh PKP ini ialah membudayakan solat jamaah, bacaan mathurat pagi dan petang, solat dhuha, tilawah al-Quran, hafazan, masak bersama-sama dan sebagainya. Jika perkara-perkara-perkara ini dilazimi, sudah tentu ia dapat menjemput rahmat Allah ke dalam keluarga.

Selain itu, aktiviti seharian perlu disusun mengikut keutamaannya. Kerja yang paling penting perlu diselesaikan terlebih dahulu. Seterusnya letakkan had masa bagi sesuatu kerja atau aktiviti. Jangan biar masa diambil terlalu lama dalam satu-satu aktiviti. Contohnya masak terlalu lama, mandi terlalu lama dan sebagainya. Ingatlah “Masa ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita”. Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dengan masa yang berjalan.

Akhir kalam, janganlah kita terus membiarkan diri kita dalam kerugian dan tipu daya. Memang benar, iman bertambah dan berkurang. Namun kitalah yang akan menentukan sama ada untuk terus tenggelam dalam arus masa atau sentiasa berhati-hati dalam menyusun setiap detik masa kita. Semoga kisah-kisah ulama’ yang hebat dalam memelihara masa menjadi motivasi buat semua dan khasnya buat diriku. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk terus memperbaiki diri serta istiqamah dalam menjaga masa.

Oleh Ummu Rayyan

Ahli ISMA Seberang Perai Utara