Menyambut Ramadan al Mubarak, bersediakah kita?

Tak sampai sebulan lagi tetamu istimewa bakal menjengah kita. Bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan. Namun, rata-rata melahirkan kerisauan lantaran kemungkinan Ramadan kali ini tidak dapat diraikan sebagaimana Ramadan sebelum ini.

Pada pertengahan bulan Mac yang lepas, kita digemparkan dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu yang berkuat kuasa bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Malah dengan merebaknya Pandemik Covid-19 di Malaysia ini, menyebabkan perintah ini dilanjutkan sehingga 14 April 2020 yang mengakibatkan masjid dan surau tidak dapat lagi diimarahkan, sekolah dan institusi- institusi pengajian ditutup, premis perniagaan dibuka pada had waktu tertentu sahaja bahkan tentera dan polis membuat sekatan jalan raya di mana-mana.

Lalu bagaimanakah kita akan menghadapi bulan Ramadan tahun ini dengan keadaan sebegini? Tiada lagi jemaah tarawih di masjid kegemaran dengan alunan merdu imam pilihan. Hilanglah seri kemeriahan iftar di masjid dan surau taman. Mampukah kita untuk mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran tanpa kumpulan tadarus selepas tarawih bersama ahli qariah? Dapatkah kita mengejar lailatul qadar tanpa beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan?

Sebelum pena mencoret kata, marilah bersama kita selami tujuan ibadah puasa seperti yang dinukilkan di dalam surah al-Baqarah ayat 183:

 “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Ibadah khusus yang mula difardhukan sejak tahun kedua hijrah ini tidak lain bertujuan untuk melahirkan hamba yang bertakwa seperti yang difirmankan dalam ayat di atas. Objektif ketakwaan ini akan dapat kita capai bergantung kepada nilai taqarrub kepada Allah, dan bukan dengan sekadar kemeriahan ibadah di rumah Allah saban malam. Oleh yang demikian, dapatlah kiranya kita menyediakan mental dan emosi kita untuk menghadapi Ramadan kali ini dengan cara yang berbeza, yang mungkin hanya akan disambut bersama keluarga kita sahaja.

Mengimani akan kelebihan yang dijanjikan pada bulan Ramadan, baginda ada bersabda; Ibnu Mas’ud Al-Ghifari menceritakan ;

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w –suatu hari menjelang Ramadan – bersabda, “Andai para hamba mengetahui apa itu Ramadan tentu umatku akan berharap agar sepanjang tahun itu Ramadan.”

Menyorot sirah kehidupan Rasulullah dan para sahabat, Ramadan adalah bulan pesta ibadah yang sangat ditunggu-tunggu. Mereka menghidupkan bulan Ramadan dengan menghabiskan sebahagian besar masa mereka membaca al-Quran, berzikir, berdoa, mengerjakan solat-solat sunat, mendirikan solat tarawih dan berjaga malam untuk berqiyamullail. Mereka menjadikan bulan Ramadan ini sebagai “me-time” mereka bersama Allah, di mana kebanyakan amal-amal dilakukan secara bersendirian.

Inilah keadaan Ramadan sebenar yang dinikmati oleh Rasulullah dan para sahabat.

Lalu, bagaimanakah persediaan yang boleh kita lakukan untuk menyambut kedatangan Ramadan nanti? Antara persediaan yang boleh kita lakukan ialah:

1. Wujudkan mihrab atau ruang solat khusus di rumah sebagai tempat untuk kita sekeluarga solat berjemaah, bertadarus al-Quran dan melakukan aktiviti ibadah dengan selesa sebagaimana selesanya kita bersujud atas karpet tebal di masjid indah.

2. Hias ruang atau sudut Ramadan di rumah untuk mewujudkan suasana Ramadan dengan ayat-ayat dan hadis motivasi tentang Ramadan. Tetamu istimewa ini pasti teruja untuk datang kepada kita yang ternanti-nanti akan kehadirannya.

3. Andai ini Ramadan terakhir kita, apakah target yang perlu kita sasarkan? Tetapkan target Ramadan. Tulis dan paparkan di ruang khas tersebut.

4. Manfaatkan masa kuarantin ini dengan menghafaz surah-surah yang mampu membawa kita dan keluarga tenggelam dalam roh tarawih.

5. Rancang menu dan masa. Sebagaimana kita merancang menu untuk santapan keluarga tiga kali sehari semasa PKP ini, rancanglah menu iftar seadanya untuk kita mampu bersolat jemaah maghrib di awal waktu, membuat halaqah tadarus keluarga sementara menunggu isyak. Bagi para ibu yang mungkin sebelum ini tak mampu bertarawih di masjid lantaran perlu menjaga anak kecil, lebih mudah mengurus dengan adanya imam tarawih di rumah. Kita boleh membuat perancangan masa yang lebih efektif termasuk moreh seterusnya tidur awal untuk sama-sama bangun berqiamullail dan bersahur.

Inilah cara Allah mentarbiah kita untuk meraih takwa yang dijanjikan Dia sebagai hadiah di penghujung ibadah puasa untuk melayakkan kita meraikan kemenangan di hari raya. Bertepatanlah dengan hadith qudsi yang menyebut ;

Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

Semoga kita mampu memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk membuat persediaan menyambut tetamu istimewa ini. Semoga Ramadan kali ini adalah Ramadan terbaik yang mampu kita lalui. Andai ini Ramadan yang harus kita hadapi bersama keluarga kita sahaja, jadikanlah ianya Ramadan yang paling berkualiti. Semoga kita direzekikan berjumpa Ramadan dengan kemeriahan beribadah di rumah Allah seperti yang kita nikmati sebelum ini.

Ummu Sulha dan Abu Sulha

Aktivis ISMA Seberang Perai Utara

9 Syaaban 1441