Keunikan tempat perjumpaan Nabi Khidir dan Nabi Musa sebagai Metafora keluasan Ilmu

Metafora adalah pemakaian kata-kata yang menyatakan satu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa (Dewan Bahasa dan Pustaka). Kisah perjumpaan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s adalah sebuah kisah perjalanan menuntut ilmu. Peristiwa ini dirakam dalam  Surah Al-Kahfi (surah 18: ayat 60-82) yang disunatkan membacanya pada hari Jumaat.

Oleh yang demikian, penulis berpendapat jika kisah ini dikaji dalam sudut sastera, pelbagai maklumat menarik dapat dicungkil kerana ‘pengarah’ kisah ini adalah Allah S.W.T Yang Maha Bijaksana sendiri.

Al-Furqan yang mulia merekodkan perjalanan Nabi Musa a.s bertujuan untuk menuntut ilmu daripada Nabi Khidir a.s (Ibn Kathir).

Ketika bertemu, Nabi Khidir berkata “Hai Musa, aku mempunyai ilmu yang diberikan dari ilmu Allah. Dia mengajariku hal-hal yang tidak engkau ketahui. Dan engkau pun mempunyai ilmu Allah yang Dia ajarkan kepadamu yang aku tidak memilikinya.” (Hadis Bukhari).

Menariknya, Allah takdirkan kedua-dua nabi itu untuk bertemu di tempat pertemuan dua laut iaitu Laut Persia, Masyriq dan Laut Romawi, Maghrib (Qatadah).

Maka jelas kepada kita bahawa kedua-dua nabi Allah itu mempunyai ilmu yang luas bak lautan. Maka Allah takdirkan mereka berdua untuk bertemu di pertemuan dua laut pula di mana merupakan latar tempat yang paling sesuai untuk mereka.

Peribahasa Melayu juga ada menggunakan metafora yang sama iaitu “laut budi tepian akal” yang membawa maksud seseorang yang mempunyai banyak ilmu lagi bijaksana.

Tidak terhenti di situ, Allah terus memberi gambaran keluasan ilmu adalah seperti lautan iaitu ketika Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s duduk di dalam perahu, ada burung hinggap di tepi perahu dan minum sekali atau dua kali patukan ke laut. Maka Nabi Khidhir a.s berkata kepada Nabi Musa a.s: “Jika ilmuku dan ilmumu dibandingkan dengan ilmu Allah, maka ilmu kita itu tidak lain hanyalah seperti air yang diambil oleh burung itu dengan paruhnya dari laut itu.” (Hadis Bukhari)

Terdapat banyak lagi komponen sastera dalam satu kisah ini sahaja. Namun dengan sangat yakin penulis mengetahui bahawa kita tidak akan dapat merungkaikan kesemuanya sampai bila-bila pun. Perkara ini sudah kita buktikan kerana keluasan ilmu Allah itu sendiri. Malah pada pengakhiran surah ini sendiri Allah S.W.T menggunakan laut sekali lagi dalam firman-Nya

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.(Surah Al-Kahfi: 18:109)

Maka, semua manusia haruslah bersabar dalam menuntut ilmu seperti sabarnya kita dalam kepenatan mengembara. Ketahuilah bahawa ilmu itu sangat luas dan akan mengangkat martabat setiap orang yang memilikinya.

Kita juga dapat mengambil pengajaran bahawa ilmu itu sumbernya datang daripada Allah. Maka, apa sahaja yang berlaku, musibah atau keuntungan, jika kita mendalaminya dengan ilmu dan dilengkapi dengan keimanan keluasan ilmu Allah, akan menjadikan kita orang yang bersyukur, insaf, dan lebih bersemangat.

Wallahualam.

Oleh Mohamad Syafiq Bin Mohamad Sulaiman

YDP i-Guru Pulau Pinang