Keunikan Plot kisah perjalanan menuntut Ilmu Nabi Musa a.s

Menuntut ilmu adalah sebuah perjalanan yang panjang dan akan menambah nilai dalam diri seseorang. Kepayahan dan cabaran menuntut ilmu berbeza untuk setiap individu. Cabaran-cabaran ini boleh sahaja mematahkan semangat namun dengan menempuhi semua cabaran itu, kita akan menjadi semakin kuat dan berpengalaman.

Plot merupakan jalinan atau hubungan peristiwa dalam sesebuah karya. Sesuatu peristiwa yang berlaku boleh menyebabkan berlakunya satu peristiwa lain yang lebih rumit atau sebaliknya. Perkembangan peristiwa itu boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama iaitu:

Maka mari kita pecahkan perjalanan Nabi Musa a.s menuntut ilmu daripada Nabi Khidir a.s kepada plot-plotnya.

Plot Permulaan

Pada permulaan kisah ini, Allah S.W.T telah mengarahkan Nabi Musa a.s untuk mengembara mencari ilmu dengan membawa seekor ikan masin. “Di mana ikan itu hilang, maka di situlah Khidir itu berada.” (Ibn Kathir). Timbul persoalan kepada kita sebab Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana memberi arahan yang sedemikian untuk mempertemukan Nabi Musa a.s kepada gurunya. Dan Nabi Musa a.s sendiri tidak tahu bila atau bagaimana ikan itu akan hilang.

Salah satu daripada pelbagai hikmah adalah plot ini mengetengahkan konsep inkuiri dalam pembelajaran. Inkuiri adalah teknik pembelajaran yang sangat baik lagi berkesan untuk melonjakkan rasa ingin tahu pelajar dalam mencari ilmu. Dengan inkuiri, pelajar akan lebih bersemangat dan bermotivasi untuk mencari penyelesaian sesuatu masalah seterusnya sanggup menempuh apa sahaja cabaran demi ilmu.

Plot Perkembangan

Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah (Al-Kahfi 18:61)

Pada plot perkembangan ini, terjadi sesuatu yang sangat luar biasa iaitu ikan masin Nabi Musa a.s hidup semula lalu berenang ke laut. Selain daripada menjadi petunjuk bahawa tempat itulah yang  dicari Nabi Musa a.s, peristiwa ajaib ini juga mengisyaratkan bahawa perjalanan menuntut ilmu yang bakal dilalui oleh Nabi Musa a.s akan dipenuhi dengan banyak peristiwa yang tidak dapat diterima akal yang logik pada plot seterusnya. Perbahasan yang panjang mengenai peristiwa ini sangat menarik dan penulis menggalakkan para pembaca untuk mencarinya dalam tafsir Ibn Kathir.

Plot Kemuncak

Maka peristiwa-peristiwa kemuncak itu pun dilakarkan dalam Al-Kitab seperti berikut:

 PeristiwaIlmu Allah kepada Nabi Khidir a.s
1.Nabi Khidir melubangi perahuLubang itu akan mencacatkan perahu tersebut agar tidak dirampas oleh raja
2.Nabi Khidir membunuh seorang pemudaIbu bapa pemuda tersebut adalah orang yang beriman agar Allah mengurniakan mereka anak yang lebih baik
3.Nabi Khidir mengukuhkan dinding yang hampir roboh pada bandar yang mempunyai penduduk yang tidak mahu menjamu merekaAgar harta anak yatim di bawah tembok itu dapat dilindungi hingga sampai masanya

Maka sampailah kita kepada kemuncak pengembaraan Nabi Musa a.s menuntut ilmu daripada Nabi Khidir a.s semasa peristiwa yang terakhir, iaitu harta anak yatim yang berupa lempengan emas yang di dalamnya tertulis:

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku heran terhadap orang yang beriman kepada takdir, mengapa ia bersedih. Aku juga heran terhadap orang yang beriman akan adanya kematian, mengapa ia masih bisa senang. Aku merasa heran kepada orang yang mengetahui dunia dan goncangan yang dibuatnya terhadap penduduknya, bagaimana ia bisa merasa tenang. Tidak ada Ilah (yang haq) selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah.” (Tafsir Ibn Jarir)

Maka harta yang disimpan bukan sahaja emas, malah suatu ilmu nasihat yang jika sesiapa berpegang padanya akan berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Sungguh hebat episod ini kerana ia membuka mata kita semua tentang keluasan ilmu untuk kita terokai malah ilmu jugalah yang akan meletakkan kita pada jalan kejayaan dunia dan akhirat.

Plot Pengakhiran

Mungkin dialog penerangan tindakan sang guru (Nabi Khidir a.s) kepada muridnya (Nabi Musa a.s) boleh disifatkan sebagai plot pengakhiran. Namun, dialog itu dikatakan sebagai sebahagian daripada plot kemuncak kerana pada fasa itulah Nabi Musa a.s mendapat jawapan kepada segala persoalan yang timbul umpama seorang guru memberi jawapan latihan kepada muridnya. Pada ketika itu juga, kita dapat merasakan betapa luasnya lautan ilmu Allah sekali gus menjadikan diri kita kerdil lantas layak sekali bersujud dan bertasbih kepada Allah.

Maka, plot pengakhiran kisah pengembaraan Nabi Musa a.s mencari ilmu adalah kisah Zulkarnain. Kisah ini terus bermula pada ayat 83 selepas dialog antara Nabi Khidir a.s kepada Nabi Musa a.s.

Ini bermakna, kisah pengembaraan mencari ilmu tidaklah mempunyai plot pengakhiran. Tamatnya satu episod akan bermula episod yang lain. Terungkapnya sesuatu ilmu akan terbuka pula ilmu yang baru lantas membawa kita kepada pengembaraan yang baru. Malah pengembaraan yang baru ini pula memerlukan pengalaman dan tanggungjawab yang lebih besar dan luas.

Ini bertepatan dengan kisah Zulkarnain itu yang merupakan seorang pemimpin yang beriman dan mengembara untuk menyelesaikan masalah-masalah komuniti-komuniti di muka bumi ini. Bukankah ini adalah tugas mereka yang berilmu dan berpengalaman untuk digunakan demi kebaikan semua?

Maka, dengan memahami sifat menuntut ilmu adalah ibarat sebuah pengembaraan, maka haruslah kita banyak bersabar dalam menempuhinya. Umpama penat dalam perjalanan, kita berehat seketika untuk mengisi bekalan, di samping merenung semula sama ada kita berada pada landasan yang betul.

Bagi pendidik pula, teknik pengajaran dalam al-Quran adalah teknik yang terbaik. Antaranya adalah teknik inkuiri, teknik penceritaan, berdialog, menggunakan emosi dan banyak lagi. Menguasai teknik-teknik ini bukan sahaja membantu para pelajar dalam memahami sesuatu topik, malah memberi kepuasan mendidik yang sungguh tinggi nilainya.

Wallahualam.

Oleh Mohamad Syafiq Bin Mohamad Sulaiman

YDP i-Guru Pulau Pinang