Kesempurnaan itu milik Allah

Sudah menjadi lumrah setiap manusia menginginkan kesempurnaan dalam kehidupan. Sedangkan kita tahu bahawa kesempurnaan itu hanyalah milik Allah S.W.T. Kita perlu menerima takdir bahawa manusia banyak kekurangan. Pelbagai tafsiran tentang erti sebenar kesempurnaan dalam kehidupan. Ada yang menafsirkan kesempurnaan dengan hanya melihat dari segi kewangan, kemewahan, teman, populariti dan sebagainya.

Ya, tidak salah untuk berkeinginan untuk memilikinya namun jauh di sudut hati, kesempurnaan itu hadir apabila sentiasa meletakkan Allah di hati yang membolehkan kita tersenyum sendiri merasakan ketenangan yang datang singgah di hati.

Sebagai contohnya, dalam kehidupan kita hidup bermasyarakat, agak mustahil untuk mendapatkan kesempurnaan daripada seorang manusia lain kerana Allah menjadikan manusia itu tidak ada seorang pun yang sempurna termasuklah diri kita.

Apabila kita sering mengharapkan kesempurnaan daripada manusia misalnya kasih sayang, perhatian, dan ganjaran akhirnya ia akan mendatangkan kekecewaan. Kita seharusnya berwaspada agar pengharapan kita  kepada Allah tidak diatasi oleh pengharapan kita kepada manusia.

Sedar ataupun tidak kesempurnaan itu hadir dengan kehendak-Nya. Kesempurnaan itu datang kepada kita melalui pelbagai bentuk dan ada kalanya tanpa kita sedar tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Tidak ada sesiapa pun yang memiliki kesempurnaan kerana sempurna itu milik Allah.

Kekuatan hati yang dibentuk dan dijaga oleh seseorang itu berjaya apabila sentiasa meletakkan Allah di dalam hati. Hati yang kuat akan terus mendorong kita ke jalan Allah. Jangan biarkan hati lemah dengan dosa, maksiat, kesedihan yang berterusan kerana memudahkan kerja syaitan untuk menghasut kita.

Dalam hidup ini,  tiada apa yang lebih sempurna melainkan kesediaan kita untuk menerima kekurangan yang ada. Malah, apabila tiada Allah di hati menjadikan hidup kita akan terus terumbang-ambing bagaikan kapal yang sesat di tengah lautan. Kesempurnaan itu datang daripada-Nya dan ia merupakan satu anugerah untuk kita syukuri.

Oleh itu, sebagai hamba Allah yang penuh dengan dosa, berdoalah kepada-Nya dan sentiasalah untuk berusaha memperoleh kasih sayang dan rahmat daripada Allah. Binalah kekuatan hati kerana jika hati baik maka baiklah keseluruhan anggota badan yang lain. Jagalah hati agar sentiasa kuat dalam usaha untuk mendapatkan kasih sayang Allah.

Oleh Muhamad Kamel Ramli

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik 2019

MRSM Balik Pulau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *