Hidup sederhana tidak menjadikan kita miskin

Saat diuji, iman adalah senjata paling ampuh buat orang-orang beriman. Kepercayaan dan keyakinan kepada Allah menjadi penguat kepada kita dalam melalui saat-saat sukar, kesempitan, kesunyian, dan apa jua perasaan negatif yang muncul di minda sedar.

Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan menguji seseorang hamba melainkan dia mampu untuk menghadapi ujian tersebut. Dalam firman-Nya “Ingatlah kepada-Ku, Aku juga akan ingat kepada kalian. Dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kalian kufur.”(Surah Al-baqarah: 125).

Ingatlah Allah ketika diuji dengan kesenangan mahupun kesusahan. Jadikan ujian sebagai penguat jiwa dan peluang merebut pahala daripada Allah S.W.T.     Allah hadirkan ujian tanpa mengira waktu dan keadaan. Kerana itu, sebagai orang beriman wajib kita bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan yang telah Allah aturkan sebagai bukti keimanan kita kepada Allah. Seperti dalam firman-Nya:

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 155).

Dalam suasana kuarantin hari ini, banyak mengajar manusia untuk mendidik diri hidup secara sederhana. Hidup secara sederhana tidak akan menjadikan kita miskin tetapi kita akan sentiasa rasa cukup, bahagia dan bersyukur kepada Allah. Inilah sikap yang seharusnya diterapkan dalam diri individu sejak dari kecil. Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Ibu bapa mesti menerapkan gaya hidup yang  sederhana kepada anak-anak dalam setiap perkara.

Bukan perkara mudah untuk membiasakan ahli keluarga hidup bersederhana dan didikan ini perlu latihan awal supaya kesederhanaan menjadi sebahagian daripada hidup seseorang. Pertama, ajar  keluarga untuk tidak terlalu cerewet dalam memilih makanan yang sihat dan bukan makan yang mahal sahaja. Dalam situasi stay at home, elakkan makan mengikut nafsu. Berpada dengan makan sesuai dengan aktiviti seharian. Jika mampu, amalkan puasa sunat untuk merehatkan perut,  menundukkan nafsu dan semestinya untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Kedua, aspek pemilihan pakaian yang berkualiti tidak mengapa yang murah asalkan menutup aurat. Ramai wanita sangat mengambil berat perihal penampilan diri dan kecantikan rupa paras. Namun perlu berhati-hati agar kita tidak berlebih-lebihan mempamerkan kecantikan bimbang mengundang dosa dan umpatan orang.

Ketiga, gunakan teknologi telefon pintar supaya kita juga menjadi pintar. Tidak perlu yang mahal cukuplah dengan telefon biasa selagi boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bukan untuk menonton hiburan porno atau melayan permainan yang merosakkan potensi diri. Gunakan peluang tingkatkan pengetahuan, perbaiki bacaan al-Quran dan ambil peduli isu umat Islam.

Terakhir, sediakan peruntukan simpanan secara konsisten. Tabungan sangat penting terutama ketika dilanda musibah yang tidak diduga. Jika mampu, buatlah perniagaan sampingan untuk mengukuhkan ekonomi diri. Itulah yang sangat dituntut dalam agama supaya kita dapat membantu orang lain dan menyuburkan amalan sedekah yang mulia.

Kesimpulannya, ambil ruang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan ibu, ayah dan adik-beradik di rumah. Waktu yang ada jangan di sia-siakan. Ambil peduli perasaan mereka, saling membantu melakukan kerja rumah dan berkongsi  perkara kebaikan. Jika setiap hari kita membaca al-Quran pasti ada hati-hati yang rindu untuk ikut sama menelaah al-Quran setiap hari, InshaALLAH.

Oleh Siti Nurfarhana Ahmad Puat

Ahli ISMA Seberang Perai Utara