Haaza Min Fadhli Rabbi – kata hikmat penusuk jiwa

2020

Susunan nombor yang dinanti saban tahun. Wawasan 2020 yang di canang sedari usiaku 7 tahun telah tiba. Teruja, berdebar, gembira silih berganti menyambut tibanya 2020. Namun, takku duga begini keadaannya tahun yang di nanti. Tiada kereta terbang, tiada robot pelunas kerja. Cuma yang ada hanyalah satu istilah pandemik baru: Covid-19. Meragut kebebasan bergerak, polis dan tentera di mana-mana sahaja seolah-olah hidup dalam zaman penjajahan. Masa dihabiskan di dalam rumah semata, keluar pun bagai dikejar pulang secepatnya. Hati memberontak dalam diam, mempertikaikan apa yang berlaku. Inikah 2020 yang dinanti?? 2020 dengan slogan #STAYATHOME

Haaza Min Fadhli Rabbi, ini termasuk kurnia Tuhanku..

Ayat yang mengetuk pintu hatiku agar kembali sedar akan aturan yang diberi oleh-Nya. Agar tiada lagi resah gelisah mengharungi situasi sukar kini. Agar diri lebih mengkoreksi diri sebagai seorang hamba-Nya. Saat-saat sukar begini adakah aku perlu hanyut dengan perasaan dan hawa nafsu ataupun bersyukur atas ujian yang diberi? Bersyukur kerana merasakan Allah sayangkan diriku, lantas memberikan ujian sebegini rupa. Bersyukur kerana tiada sebab lain Allah menguji sebegini rupa, melainkan untuk memantapkan keimanan dan membersihkan jiwa. Kerana aku tahu ujian itu tarbiah daripada Allah.

“Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barangsiapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Maha Mulia.” [an-Naml, 27:40]

Haaza Min Fadhli Rabbi, ini termasuk kurnia Tuhanku..

Sungguh benar ayat hikmat ini. Jika sebelum ini, diri ini terlalu leka dan lalai dalam mengejar keduniaan; keluar sebelum matahari terbit pulangnya setelah malam menyelimuti bumi, kini aku punya banyak masa untuk melunaskan hak sebagai seorang hamba-NYA. Masa yang terhidang di saat sukar ini memberi ruang dan peluang untuk melaksanakan amal fardi sedari celik mata di awal pagi sehingga ke malamnya. Sungguh indah saat-saat begini sehingga tanpa sedar titisan suam mengalir dalam sujudku. Apatah lagi berpeluang berbuat bersama keluarga tercinta. Nikmat apa lagi yang kau dustakan?

Haaza Min Fadhli Rabbi, ini termasuk kurnia Tuhanku..

Sungguh benar ayat hikmat ini. Lihatlah orang di sekeliling kita, hulurkan bantuan sekiranya ada bantuan yang memerlukan. Pujuklah diri dan buka ruang seluasnya untuk membuat kebajikan, bersedekah, berinfaq bagi golongan memerlukan. Menuntut diri ini berfikir secara kreatif supaya masih berpeluang menyumbang walau kaki bagai digari dari melangkah jauh. Mengerah segala kudrat dimiliki untuk sama-sama berbakti di saat sukar ini. Wang tidak mencukupi, tenaga dihulurkan. Kudrat telah lelah, buah fikiran diberikan. Ketandusan idea, darah didermakan. Sungguh indah bukan aturan-Nya?

Haaza Min Fadhli Rabbi, ini termasuk kurnia Tuhanku..

Sungguh benar ayat hikmat ini. Segalanya bergantung kepada diri yang melihat sesuatu kejadian itu dari perspektif yang berbeza. Positif yang dinilai, positiflah hasilnya dan begitulah sebaliknya. Adakah semua ini menjadikan kita lebih dekat dengan-Nya, menambahkan ketaqwaan kita seterusnya menjadikan kita lebih peka dan arif dengan duri dan liku kehidupan. Segalanya berbalik pada diri kita. Ingatlah bahawa dunia hanya alat, akhirat sebagai matlamat. Renung-renungkanlah,

“Hairan sungguh urusan orang mu’min itu, semua urusannya baik belaka; perkara itu tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mu’min. Iaitu apabila ia mendapat kebahagiaan dia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya. Apabila ia ditimpa musibah dia bersabar, dia bersabar itu adalah hal yang baik baginya.” [Riwayat Imam Ahmad]

#stayathome

#jzkkfrontlinernegara

#mogahanyagerhanabukanterbenammatahari

Oleh Nor Ain Abdul Rani

Ahli ISMA Seberang Perai Utara