Elak jadi mangsa Macau Scam

“Hello, ini adalah panggilan dari Mahkamah”

“Mahkamah mana?”

“Mahkamah Alor Setar”

“Mahkamah tutuplah” terus saya mematikan panggilan telefon tersebut.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah beberapa kali saya menerima panggilan telefon seperti ini. Bagi saya yang bekerja dalam bidang guaman, panggilan seperti ini adalah penipuan (scam) kerana mahkamah tidak beroperasi ketika ini kecuali untuk kes-kes jenayah baru atau berhubung dengan pelanggaran PKP. Saya terfikir bagaimana pula kalau orang biasa yang dapat panggilan telefon seperti ini. Kesian kalau mereka termakan perangkap penipu-penipu ini.

Di Malaysia, terdapat banyak jenis scam/sindiket penipuan antaranya love scam, gores dan menang, pembiayaan kewangan mudah, Macau Scam dan pelbagai lagi.

Kali ini, saya ingin sebut tentang Macau Scam. Ramai pernah dengar, tapi apa sebenarnya Macau Scam ini?

Sejarah asal usul nama Macau scam diberi agak tidak jelas kerana ada berbagai versi. Salah satunya ialah sindiket penipuan ini berasal dari Taiwan, China yang menggunakan talian antarabangsa tempatan atau dari Hong Kong. Selalunya sindiket penipuan ini menggunakan talian telefon untuk membuat penipuan. Ada juga sumber mengatakan mangsa mereka yang pertama adalah daripada Macau membuatkan modus operandinya digelar sebagai Macau Scam.

Terdapat beberapa modus operandi Macau Scam:

  • Membuat panggilan telefon dan menyatakan bahawa mangsa telah menang cabutan bertuah dan kemudiannya meminta kita membuat bayaran untuk cukai, insurans dan caj pemindahan untuk mendapatkan hadiah tersebut.
  • Selain itu, mereka juga membuat panggilan dan menyamar sebagai penculik kepada anak atau saudara kita dan meminta wang tebusan.
  • Menyamar sebagai syarikat-syarikat telekomunikasi atau bank dan meminta kita membuat bayaran yang tertangguh untuk elak disenaraihitamkan.
  • Mereka juga menyamar sebagai pihak berkuasa (Polis, Kastam, SPRM dan sebagainya), mahkamah atau bank dan menyatakan bahawa kita telah melanggar undang-undang dan kita perlu membuat sejumlah bayaran denda untuk mengelakkan akaun bank kita dari dibekukan.

Jadi perkara perlu dibuat apabila anda menerima panggilan adalah seperti ini:

  • Ambil maklum bahawa sebarang notis dari pihak berkuasa adalah melalui notis bertulis yang perlu disampaikan kepada anda. TIADA pihak berkuasa yang akan menelefon anda dan kemudian meminta bayaran dibuat. Bayaran daripada pihak berkuasa selalunya perlu dibuat di tempat pihak berkuasa tersebut. Jadi jika terdapat panggilan telefon sedemikian, lebih baik anda letak telefon.
  • Jangan panik, anda perlu sentiasa berwaspada. Ada beberapa kata kunci yang boleh anda kenal pasti sekiranya anda menerima panggilan telefon sedemikian seperti “anda perlu membuat bayaran SEGERA”, “anda tidak boleh beritahu sesiapa”, “anda perlu memberitahu nombor akaun/nombor kad kredit/debit, kad ATM, nombor TAC”.

    Jadi jika ada ayat-ayat seperti ini, jangan berikan butiran peribadi anda. Matikan panggilan tersebut secepat mungkin. Jangan mengikut arahan pemanggil. Sebaiknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau agensi terbabit untuk pengesahan lanjut.
  • Hubungi pihak polis jika anda berasa ragu-ragu;
  • Tanyakan mengenai perbualan telefon itu kepada mereka yang anda percayai sebelum anda mengikut arahan pemanggil tersebut untuk dapatkan pandangan.

Rumusannya, anda perlu berfikir terlebih dahulu dan JANGAN MUDAH PERCAYA dengan orang yang tidak dikenali. Jika ada yang mengatakan anda telah langgar lari kereta, cuba fikir sejenak, adakah anda benar-benar berbuat demikian? Jika tidak, kenapa anda perlu gusar dan kalut?


Jika ada pegawai polis yang menelefon dan beritahu bahawa anda telah terlibat dengan penggubahan wang haram sedangkan anda hanyalah seorang suri rumah, adakah ianya logik?

FIKIR DAHULU. TANYA JIKA TIDAK TAHU. JANGAN MUDAH PERCAYA.

Sebagai masyarakat umum, tingkatkan kesedaran dengan banyakkan membaca dan berikan kesedaran kepada orang lain tentang perkara ini. Memandangkan kerajaan telah umumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin baru-baru ini, ramai orang mempunyai duit berupa bantuan. Jadi, sindiket ini semakin rajin beroperasi mencari mangsa yang mudah percaya kepada mereka.

Kepada mereka yang ada ibu bapa, sentiasa hubungi ibu bapa anda untuk maklumkan perkara-perkara sebegini. Jika ada jiran-jiran atau kenalan anda yang tidak celik teknologi maklumat, jelaskan juga perkara ini kepada mereka supaya mereka tidak mudah terperangkap. Sama-samalah kita jaga kita.

Awas, sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan. Selain melawan Covid-19, kita juga harus menang melawan sindiket penipuan seperti ini.

Nukilan,

Umm Aisyah