Covid-19 vs Jhvid-00

Ketika artikel ini ditulis, jumlah kematian Covid-19 dalam negara meningkat kepada 43 orang daripada jumlah kes keseluruhan, 2766 orang. Kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif dan efektif untuk membendung masalah ini yang turut memberi kesan amat dahsyat kepada negara lain seperti Itali dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan statistik kematian rakyat Malaysia, antara 70-80% kes merupakan mereka yang berusia 50 tahun ke atas serta mempunyai penyakit lain seperti diabetes, jantung, penyakit buah pinggang dan lain-lain yang lebih berisiko untuk terkena jangkitan sekali gus terdedah kepada maut. Golongan berkenaan mempunyai daya tahan yang sangat rendah berbanding dengan orang biasa.  

Bantuan perubatan tidak mampu untuk menyelamatkan keadaan walaupun dengan ubatan serta peralatan yang canggih. Manakala bagi orang yang lebih muda serta tiada penyakit yang dinyatakan di atas, serangan virus tersebut dapat diatasi kerana mempunyai antibodi badan yang kuat serta ubat-ubatan yang bersesuaian. Pesakit juga mempunyai peluang untuk pulih sekiranya mereka mendapatkan rawatan sepenuhnya meskipun menerima rawatan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Serangan virus ini menjadikan seluruh masyarakat dunia dalam keadaan ketakutan serta sentiasa berwaspada pada setiap keadaan iaitu dengan pemakaian topeng yang konsisten, mengamalkan social distancing, pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lain-lain arahan daripada pihak berkuasa.

Pelbagai strategi mencegah diambil bagi memastikan semua peringkat masyarakat dapat melalui virus ini dengan tenang. Secara hakikatnya, ia menyerang kehidupan manusia yang tidak pasti bila akan berakhir serta mudah tersebar dengan cepat. Pelbagai usaha dan tindakan yang bersungguh daripada seluruh masyarakat kerana ia membawa kepada KEMATIAN. Jadi, boleh dikatakan KEMATIAN membuat tindakan kita berfokus dan komited untuk menangani COVID-19 ini.

Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi virus lebih bahaya yang boleh menyebabkan KEMATIAN jiwa dan jati diri bahkan kesannya boleh diwarisi sehingga beberapa generasi. Inilah Jhvid-00 atau virus jahiliah yang menyerang manusia sejak zaman nabi Adam dan akan berterusan sehingga saat dunia ini dihancurkan. (Jh bererti jahiliah manakala 00 bererti sejak kewujudan manusia). Namun malangnya, “kematian” yang disebabkan oleh Jhvid-00 tidak mendapat tindakan yang agresif daripada semua pihak.

Virus ini menyerang manusia yang lupa matlamat kehidupan serta peranan yang perlu dimainkan manusia di muka bumi. Lebih menggerunkan, ianya mampu menjadikan martabat manusia jatuh sehingga taraf binatang bahkan sehingga mampu menggetarkan iblis dengan perlakuan fasad yang di luar batasan manusia.

Jhvid-00 ini menjadikan manusia lupa kepada Allah selaku Sang Pencipta dan Tuhan yang selayaknya disembah, cinta kepada dunia dan melupakan terus alam kehidupan akhirat, Ada juga dalam kalangan manusia yang melakukan perlakuan di luar tabii manusia, hidup dengan hiburan yang melalaikan, hilang jati diri umat Islam yang hebat serta lain-lain kesan buruk sekali gus menyebabkan manusia terjerumus kepada kemunduran dan kesesatan.

Sebagaimana pesakit yang diserang Covid-19, ada yang mampu sembuh dan ada yang berakhir dengan kematian. Begitu juga dengan Jhvid-00 ini, ada sebahagian boleh di selamatkan dan ada yang terus terjerumus dengan masalah jahiliah sehinggalah mereka menemui ajal. Pesakit yang boleh diselamatkan apabila mereka tahu bahawa mereka sedang sakit, sabar menerima rawatan serta sentiasa mendapatkan khidmat Doktor Pakar yang merawat mereka. Sebenarnya, perkara ini sangat bergantung kepada pesakit itu sendiri untuk menginsafi kejahilan yang mereka lakukan, sanggup di tarbiah, berjumpa dengan seseorang yang ikhlas serta mempunyai ilmu yang benar untuk membimbing.

Ada pesakit yang tidak mampu diselamatkan oleh serangan Jhvid-00. Mereka seorang materialistik atas segala-galanya yang ada di dunia ini, berasa keseronokan yang tiada sempadan bahkan mereka menyimpulkan tarbiah Islam adalah kongkongan jumud yang tidak mengikut peredaran kemajuan zaman. Jadi, mereka terus hanyut sehinggakan ada yang menjadi agen mempromosikan kehidupan jahiliah kepada masyarakat yang lain. Virus ini akan terus menerkam generasi yang seterusnya sehingga mereka turut berperwatakan seperti generasi sebelumnya. Dan ketika ini kerosakan kehidupan manusia akan berada pada jurang sangat dalam dan sukar untuk diubati walaupun dengan Doktor Pakar ataupun peralatan yang moden.

Dan anehnya kita tidak merasakan bahayanya Jhvid-00 berbanding Covid-19.

Oleh Mohd Izwan Ishak

Ketua Biro Dakwah

ISMA Seberang Perai Utara