Covid-19: Cubit paha kiri, paha kanan terasa

Bagaikan satu jasad. Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Peribahasa yang sering kali digunakan untuk menggambarkan betapa akrabnya sebuah hubungan yang tercipta walaupun berbeza agama, bangsa dan warna kulit. Ketika ini  golongan B4, peniaga kecil, dan juga bagi mereka yang menerima gaji harian terkesan dengan arahan duduk di rumah akibat krisis pandemik Covid-19. Tidak dilupakan juga, barisan petugas hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan wabak Covid-19. Sesungguhnya, di saat kita menikmati tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, janganlah kita melupakan saudara kita yang sedang dalam kesusahan.

Orang Islam adalah bersaudara dan diibaratkan dalam satu tubuh yang sama. Setiap anggota bersambung dengan anggota badan yang lain. Justeru, hendaklah kita menjiwai saudara kita yang sedang kesusahan, kepenatan dan keletihan. Berkata Rasulullah S.A.W dalam sabdanya:

Perumpamaan orang yang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan lemah lembutnya, bagaikan satu tubuh; apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, semua anggota lain turut berjaga malam dan deman . [ Hadis Muttafaqun ‘alaih]

PKP yang diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia telah memasuki fasa 2. Jika kadar pertambahan kes harian tidak berkurang, berkemungkinan PKP akan dilanjutkan lagi. Dengan keadaan ini, golongan yang terkesan memerlukan bantuan untuk mengurangkan beban ditanggung keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.

Berikut beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan dan meringankan beban mereka:

  1. Memberi sumbangan dan berinfaq

Ramai yang terkesan akibat PKP kerana keterbatasan untuk keluar mencari rezeki. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi membantu saudara adalah memberi sumbangan kewangan bagi golongan terjejas dan peralatan untuk petugas kesihatan. Antara badan yang giat mengumpul sumbangan adalah Yayasan Ikhlas yang berpengalaman dalam menyampaikan misi bantuan.

  • Doa

Doa merupakan senjata yang sangat ampuh bagi Muslim. Jadi, jangan kita lupa untuk doa kesejahteraan mereka yang terjejas ekonominya, mereka yang dijangkiti, para petugas barisan hadapan dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Bagi memastikan doa kita lebih berkesan serta ‘tepat menepati sasaran’, kita harus menjaga amal soleh kita dan memperbanyakkan ibadah terutama bagi golongan yang perlu ‘Duduk di rumah’. Kerana Allah menerima doa-doa orang yang berusaha mendekati Allah S.W.T.

  • Memudahkan urusan petugas barisan hadapan

Sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 ini, tugas yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan sangat memenatkan dan menakutkan. Mereka berisiko dijangkiti virus, cuti terpaksa dibekukan dan ada juga yang terpaksa meninggalkan keluarga. Sebagai orang awam, kita hendaklah memudahkan urusan petugas barisan hadapan dengan mematuhi arahan dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Akhir kata, sekali lagi diingatkan supaya kita tidak melupakan saudara kita yang berada dalam kesusahan. Kita mungkin tidak diuji dengan diberi kesusahan, namun diuji dengan diperlihatkan kesusahan orang lain. Manfaatkan masa yang ada bersama keluarga dengan mencuba resipi masakan yang baru, melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak, dan meningkatkan amal ibadah sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan.

Oleh Ahmad Muslihuddin Nik @ Seman

Ahli ISMA Seberang Perai Utara