Part 1: Isra’ Mikraj Mengajar Erti Kehambaan Kepada Allah

Peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W bertujuan mengajar erti kehambaan kepada Allah S.W.T.

Perjalanan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Isra’ Mikraj menceritakan bahawa Allah S.W.T telah merehatkan seketika Rasulullah S.A.W dalam satu malam untuk Allah S.W.T berikan hiburan kerohanian yang akan memajukan motivasi Rasulullah S.A.W ke hadapan.
Sebagai orang beriman, kita harus yakin akan kuasa Allah dalam mengatur segala pentadbirannya samada yang tercapai dek akal mahupun yang berada dalam kekuasaan ghaibnya.

1 – Isra’ Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata

Peristiwa Isra’ Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah S.A.W yang benar-benar terjadi, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata.
Dalam peristiwa ini, Rasulullah S.A.W mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Isra’ Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.
Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

2 – Tanda Kekuasaan Allah S.W.T

Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah S.W.T Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.
Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah S.W.T dengan jelas telah menyatakan bahawa Isra’ Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.

3 – Bentuk Kemuliaan Allah S.W.T Kepada Rasulullah S.A.W

Firman Allah S.W.T:
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Surah al Isra’:1

Sebelum terjadinya peristiwa Isra’ Mikraj, Rasulullah S.A.W menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.
Rasulullah S.A.W juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Saidatina Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.
Oleh itu, Isra’ Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah S.A.W hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

4 – Bukti Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W

Isra’ Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah S.A.W.
Selain itu Isra’ Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah S.W.T.
Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah s.a.w dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

5 – Bukti Ajaran Rasulullah S.A.W Bersifat Menyeluruh

Peristiwa Isra’  atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.