Lihatlah…bagaimana semut mengajar manusia!

Manusia merupakan makhluk sebaik-baik ciptaan. Malangnya, keistimewaan itu tidak dapat dilihat dalam kehidupan mereka apabila mata hati, penglihatan dan pendengaran mereka dikunci Allah sebagaimana yang telah difirmankan dalam Surah al-Baqarah ayat 7 yang bermaksud:

Allah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup dan mereka akan mendapat azab yang berat.”

Sifat degil sebahagian masyarakat dapat dilihat apabila masih ada yang ingkar untuk menurut arahan Pihak Berkuasa supaya berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rangkaian Covid19. Betapa lemahnya sensitiviti manusia terhadap ancaman yang ada di sekeliling.

Mari kita belajar daripada kisah sensitiviti semut yang  begitu menakjubkan melebihi sensitiviti manusia menerusi Surah An-Naml ayat 18 yang bermaksud:

Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut,” Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu (rumah-rumah), agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”

Sensitiviti yang ada pada ‘seekor semut’ itu wajar dicontohi. Perintah yang jelas dan ketaatan dalam mengikut arahan berupaya menyelamatkan semut-semut yang lain. Sensitiviti dan kesedaran terhadap bahaya di sekeliling merupakan langkah pencegahan yang sangat bijak. Oleh itu, jika tidak mahu menggunakan akal, ayuh ikut cara semut yang TIDAK BERAKAL untuk selamatkan diri.

#stayathome

#dudukdirumah

Oleh Norfaiezah A.Rahman

Ahli ISMA Seberang Perai Utara