Kisah Islam, Asim anak Imam Masjid Greater Toledo

Semasa saya menyambung pelajaran di University of Toledo di Ohio Amerika Syarikat (AS), sering kali saya mengambil kesempatan untuk berbual dan berjumpa dengan rakan-rakan baru semasa di Universiti. Bagi saya, kehidupan di Universiti bukan hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja, tetapi aspek pergaulan dengan rakan-rakan juga amat penting. Semasa berada di sana, saya kategorikan rakan-rakan saya dalam dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah orang yang bukan berasal dari AS yang datang untuk belajar dan mencari peluang pekerjaan di sana manakala kumpulan yang kedua adalah orang yang berketurunan dari luar AS tetapi merupakan generasi kedua dan ketiga yang tinggal di AS. Dari dua kumpulan ini, saya lebih mudah untuk berkawan dengan kumpulan yang pertama kerana mereka dan saya mempunyai persamaan iaitu kami merupakan orang yang pertama kali sampai dan menetap di AS. Manakala untuk kumpulan kedua, saya dapati agak sedikit sukar untuk berkawan dengan mereka kerana mungkin perbezaan dari loghat percakapan saya yang masih lagi kuat “manglish” (Malaysian English).

Walaupun saya mempunyai kesukaran untuk berkawan dengan kumpulan kedua, saya mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan rakan bernama Asim yang dikategorikan dalam kumpulan kedua tersebut. Saya mula mengenali Asim ketika menghadiri solat Jumaat di dalam kampus. Dengan bilangan pelajar Muslim lebih kurang 10 hingga 15 orang yang belajar di Universiti itu, kebiasaannya kami akan solat berjemaah di dalam kampus. Asim kadang kala akan menjadi imam dan dari kefasihannya menyampaikan khutbah di dalam Bahasa Inggeris loghat AS, saya tahu bahawa dia tergolong dalam kategori kedua tersebut. Menariknya, peribadi dan penampilan Asim sangat berbeza dengan kawan-kawan yang saya kenal dari kategori kedua. Cara percakapannya sangat beradab dan tidak kasar. Tutur katanya lembut dan selalu melontarkan senyuman ketika berbual dengannya. Cara pemakaiannya juga tidak seperti remaja AS yang lain. Penampilannya sentiasa kemas dan bersih.

Ketika mendapat peluang untuk berborak dengan Asim, perkara pertama yang saya beritahu kepada Asim adalah, “Saya lihat kamu tidak seperti remaja AS yang lain “. Dia hanya tersenyum dan bertanya kembali kepada saya, “Apa maksud kamu?”. Saya menerangkan daripada hasil pemerhatian seperti yang saya ceritakan sebelum ini dan mahu mengetahui lanjut sebab utama Asim mempunyai personaliti yang berbeza dengan remaja lain. Keinginan saya untuk mengetahui tentang perkara itu disebabkan saya memahami masalah yang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga imigran Muslim yang menetap di AS untuk mengekalkan budaya asal mereka kerana magnet budaya AS itu sangat kuat. Akhirnya, Asim mula bercerita tentang pendekatan yang digunakan ayahnya sehingga berjaya membentuk diri dan keluarganya yang lain.

Ayah Asim dikenali sebagai Imam Faruq yang merupakan seorang Imam di Masjid besar di Toledo. Keluarga hebat ini berasal dari Mesir. Keluarga Imam Faruq berhijrah setelah ayahnya dilantik sebagai Imam di Masjid AS. Imam Faruq menyedari bahawa anak-anak muda generasi kedua imigran Muslim mudah tenggelam dalam budaya negatif di AS sehingga menjadikan mereka jauh dari Islam. Oleh itu, Imam Faruq mengambil keputusan menggunakan pendekatan berbeza membesarkan anak-anaknya daripada keluarga imigran Muslim yang lain dengan bersifat tegas terhadap mereka. Asim turut memberitahu bahawa ayahnya membuat peraturan keluarga yang perlu dipatuhi oleh semua ahli keluarganya dan jika ada yang melanggar peraturan, mereka akan dikenakan hukuman rotan. Mendengarkan yang Imam Faruq merotan anak-anaknya saya terus bertanya kepada Asim, “Apa pendekatan yang digunakan oleh Imam Faruq untuk mengekalkan hubungan rapat anak-anak sehinggakan saya pernah melihat eratnya hubungan kekeluargaan kamu semasa saya berjumpa dengan keluarga kamu di Masjid Greater Toledo?”.

Asim memberitahu bahawa ayahnya sangat mengambil berat tentang anak-anak dan bukan merotan mereka sesuka hati. Imam Faruq sangat rapat dengan anak-anaknya tetapi sekiranya mereka melakukan kesalahan maka mereka perlu berhadapan dengan hukuman. Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Imam Faruq ialah setiap daripada ahli keluarganya perlu menggunakan Bahasa Arab di rumah. Sekiranya ada di antara anak-anak yang tidak bertutur dalam Bahasa Arab di rumah, mereka akan dikenakan hukuman rotan. Secara berseloroh saya memberitahu Asim, “Mesti kamu pernah kena rotan banyak kali kan?”, dan Asim hanya tersenyum dan mengangguk membenarkan tekaan saya. Asim memberitahu saya menerusi penggunaan Bahasa Arab di rumah secara tidak langsung dapat menanamkan budaya asal mereka supaya mereka mempunyai identiti mereka sendiri dan tidak terikut dengan identiti negatif remaja di sana.  Selain daripada itu, Imam Faruq sentiasa memastikan anak-anaknya mendapat didikan agama yang mencukupi terutama dalam hal solat dan bacaan al-Quran.

Mendengarkan penjelasan daripada Asim telah memberikan saya jawapan tentang peristiwa sedih yang saya lalui ketika kawan-kawan ISMA US Canada dan saya membuat program bersama komuniti Melayu yang telah menetap lama di AS. Anak-anak mereka merupakan generasi kedua di AS dan hampir kesemua anak-anak mereka tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan lagi menyedihkan mereka tidak tahu untuk menjawab salam apatah lagi mendirikan solat. Identiti orang Melayu itu sudah hilang daripada mereka walaupun susuk tubuh mereka masih lagi kelihatan Melayu.

Pengalaman tinggal di luar negara mengajar saya betapa bersyukurnya dibesarkan di dalam sebuah keluarga Melayu yang sangat menitik beratkan perihal agama. Banyak adab-adab yang diajarkan dalam budaya Melayu merupakan hasil dari sulaman agama Islam. Dari adab-adab menghormati orang tua, sehinggalah adab dalam menjaga kemuliaan agama sekiranya diamalkan dan dijaga dengan baik akan menjadikan kita Muslim yang hebat. Peliharalah keaslian bangsa kita kerana dengan terpeliharanya bangsa Melayu ini maka terpeliharalah Islam di negara kita. Kemasukan pengaruh-pengaruh budaya luar perlu di bendung bagi memastikan anak-anak kita mengenali bangsa mereka sendiri dan merasa mulia dengan agama Islam.      

Oleh Dr Muslim Mustapa

Ahli Jawatankuasa ISMA Seberang Perai Utara