Inspirasi Ibu hebat

Ketika dunia dilanda ujian Covid-19, kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah S.W.T. dalam setiap musibah yang berlaku walaupun secara zahirnya perkara itu tidak baik pada pandangan mata kita. Setiap percaturan Allah ada hikmah yang tersembunyi. Usah mengeluh dengan perkara-perkara yang berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Carilah hikmah yang tersembunyi. Pasti akan membawa kita kembali kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah mengubah persekitaran bekerja kepada semua kebanyakan sektor awam dan swasta untuk bekerja dari rumah. Bagi ibu yang bekerja, pasti waktu ini memberi cabaran untuk diri kita. Mungkin sebelum ini kita hanya memikirkan aktiviti cuti hujung minggu untuk anak-anak. Kini, kita perlu memikirkan aktiviti-aktiviti anak setiap hari! Jangan biarkan hari-hari yang dilalui oleh anak kita sia-sia sahaja.

Perdana Menteri sudah mengumumkan tempoh lanjutan PKP sebanyak 14 hari. Peluang ini perlu digunakan oleh Ibu bapa untuk memikirkan dan mencatat apa yang perlu dilakukan walaupun masih perlu bekerja dari rumah. Jangan ditangguh, kelak kita akan rugi kerana tidak dapat menggunakan masa yang ada ini untuk kemenjadian anak-anak sendiri. Jadikan inspirasi dan contohilah tokoh-tokoh wanita Islam yang melahirkan anak-anak yang hebat.

Huma Hatun, iaitu bonda Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka kota Konstantinopel. Sejak lahir, Huma Hatun akan membawa Sultan Muhammad Al-Fateh pergi ke sebuah tebing menghadap Konstantinopel. Beliau akan berkata, “Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah S.A.W bersabda, Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Raja yang akan membukanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkaulah orangnya.”

Huma Hatun terus memberikan kata-kata motivasi kepada Sultan Muhammad Al-Fateh sehinggalah beliau berjaya menawan kota tersebut pada usia yang sangat muda, iaitu 23 tahun. Oleh itu, marilah setiap hari kita berikan kata-kata motivasi kepada anak kita. Jangan  dimarahi dengan kata-kata yang kurang enak asbab kita penat melayani mereka. Marah perlu pada cara yang betul dan emosi yang stabil.

Asma’ binti Umays juga adalah tokoh ibu yang penuh kebijaksanaan. Beliau dinikahi tiga orang sahabat hebat sepanjang hayatnya. Beliau dinikahi Ja’far bin Abi Thalib sehingga syahidnya Ja’far. Kemudian, beliau dinikahi pula Saidina Abu Bakar As-Siddiq sehingga syahidnya Saidina Abu Bakar. Akhir sekali, beliau dinikahi pula oleh Saidina Ali bin Abi Thalib.

Kebijaksanaan Asma’ boleh dilihat ketika anak-anaknya, Muhammad bin Ja’far dan Muhammad bin Abu Bakar bergaduh. Kedua-dua orang anaknya saling membanggakan diri dengan mengatakan, “Aku lebih baik daripada kamu dan ayahku lebih baik daripada ayahmu.”

Asma’ berkata kepada anak-anaknya, “Ibu tidak melihat seorang pemuda di Arab yang lebih baik daripada Ja’far dan ibu tidak pernah melihat orang tua yang lebih baik daripada Abu Bakar.” Mendengarkan ungkapan itu, anak-anaknya terus berpelukan dan bermain bersama-sama. Saidina Ali berasa kagum melihat kebijaksanaan Asma’ lalu berkata, “Engkau tidak menyiakan bagi kami sedikitpun wahai Asma’.”

Lihatlah kecerdasan yang tinggi dan adab yang mulia yang dimiliki oleh ibu hebat seperti Asma’. Kita boleh menjadikan beliau inspirasi dalam mendidik anak-anak dengan bijak dan penuh adab.

Dalam tempoh PKP ini juga, para ibu perlu  menambah ilmu pendidikan anak-anak. Banyak lagi tokoh wanita Islam hebat yang boleh kita jadikan sumber inspirasi. Selain itu, kongsikan aktiviti-aktiviti bermanfaat yang kita lakukan di rumah bersama anak-anak melalui media sosial yang ada. Sebar luaskan fikrah yang baik agar semua ibu mendapat manfaat dan inspirasi melahirkan generasi yang hebat peribadinya.

Akhir kata, ayuh kita doakan wabak Covid-19 ini akan berhenti di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan merahmati usaha-usaha pemimpin dan barisan hadapan yang sedaya upaya mengatasi penularan wabak ini. Mainkan peranan kita dengan sebaiknya sebagai rakyat yang prihatin.

Kredit juga saya berikan kepada Ustazah Dr Norsaleha binti Mohd. Salleh, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Rujukan utama saya adalah tulisan beliau bertajuk Al-Muqawwamat (2020) yang menjadi sumber inspirasi untuk saya menghasilkan tulisan ini.

Wallahu a’lam.

Oleh Ummu Uwais

Ahli ISMA Seberang Perai Utara