Covid-19: Ruang dan Peluang Beramal Soleh

Setelah seminggu seluruh rakyat Malaysia berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order), rata-rata masyarakat gelisah, sedih serta turut menyatakan kerisauan terhadap jumlah kumulatif positif Covid-19 dan peningkatan kes kematian dari hari ke hari. Dalam masa itu juga, terdapat segelintir masyarakat yang seringkali mengungkapkan:

“Bosan la camni, buat benda yang sama ja..”

“Bosannya dok di rumah.. tak boleh keluar jalan ke mana-mana..”

Persoalannya, mengapa wujudnya istilah ‘bosan’ atau ‘boring’ dalam tempoh bertenang ini? Hal ini menggambarkan perasaan seseorang yang telah jemu dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang. Sedangkan, para petugas kesihatan Covid-19 di Hospital dan Klinik merupakan orang yang paling sibuk sehingga sanggup berkorban segalanya untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Tiada lagi istilah rehat malah jauh sekali untuk mengungkapkan perkataan ‘bosan’.

Hakikatnya, kalimah ‘bosan’ atau ‘boring’ itu hanya hadir dalam hidup manusia yang kosong jiwanya,malah lebih teruk ialah manusia yang menjadi hamba pada dunia. Hidup terasa kosong apabila tiada perancangan hidup serta tidak tahu hala tuju atau matlamat hidup ini dengan jelas.

Bagi individu yang mempunyai matlamat yang jelas, pasti akan terus sibuk dan sibuk mengimbangi amalan dunia dan juga bekalan di akhirat kelak. Waktu yang ada bagaikan tidak mencukupi bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap detik yang masih bersisa berjuang untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Ingatlah, kehidupan ini adalah ruang yang diberikan Allah untuk kita bekerja dan beramal soleh sebagai bekalan kehidupan akhirat kelak. Sejak dilahirkan lagi, kita telah diamanahan dengan dua misi utama dalam kehidupan ini, iaitu kitalah hamba dan kita jualah pemimpin.

Pertama : Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” [Az-Dzariyat : 56]

Menurut Syaikul Islam Ibnu Taimiyah, ibadah adalah sebuah kata yang meyeluruh, meliputi apa saja yang dicintai dan diredhai Allah, mencakupi ucapan dan perbuatan yang tidak nampak atau sebaliknya. Dengan kata lain, melakukan segala hal yang mendatangkan pahala dan meninggalkan segala hal yang sia-sia dan mendatangkan dosa. Oleh itu, marilah kita berlatih memerhati serta menyusun segala aktiviti dalam kehidupan seharian supaya dikira sebagai ibadah kepada Allah.

Kedua : Kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [Al-Baqarah : 30]

Selain beribadah untuk diri sendiri, kita juga mesti berusaha menyeru untuk memastikan orang lain juga turut sama berada dalam kerangka ketaatan serta beribadah kepada Allah. Tugas khalifah bukan sekadar dipertanggungjawabkan terhadap pemimpin sahaja atau semata-mata untuk memakmurkan bumi ini bahkan lebih daripada itu. Harus difahami bahawa, tugas khalifah adalah untuk memastikan seluruh umat manusia tunduk dan patuh kepada Allah semata-mata seperti yang terkandung dalam kalimah syahadah yang kita lafazkan setiap kali solat.

Jelaslah bahawa tujuan penciptaan ini akan terus membuatkan kita sentiasa sibuk dan terus sibuk sehingga kita tidak punya masa untuk merasa bosan dalam hidup. Bermujahadahlah untuk menghapuskan perkataan ‘bosan’ dalam kamus kehidupan seharian kita dengan mengabdikan diri kepada Allah dan mengimarahkan bumi Allah dengan menjadi khalifah yang soleh dan solehah. InshaAllah.

Sebagai kesimpulannya, dengan tidak menyebut ungkapan ‘bosan duduk rumah’ atau “mereput la..
” dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan merupakan tanda solidariti kita kepada semua petugas kesihatan Covid-19 yang bertungkus-lumus dalam usaha menyelamat pesakit yang positif Covid-19 sehingga mereka layak mendapat pahala jihad fi sabilillah. InshaAllah sama-sama kita doakan agar mereka diberikan kekuatan yang luar biasa manakala kita dapat memanfaatkan masa lapang yang ada dengan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri kita-Nya.. Aamiinn ya Rabb

Noor Mastura Binti Mohd

Ahli ISMA Seberang Perai Utara