Covid-19: Nikmat dan ujian waktu lapang

Dunia huru hara dengan serangan virus COVID-19, Malaysia tidak terkecuali. Kerajaan mengeluarkan arahan “Perintah Kawalan Pergerakan” selama 14 hari. Terseksa rasanya, masa  tinggal di rumah ini dirasakan amat panjang bagi kita yang sentiasa sibuk dengan urusan dan tuntutan kehidupan.

“ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan – pesan kepada kebenaran serta berpesan – pesan dengan sabar.” (al-Asr, 1-3)

Mengesani ayat al-Quran di atas, kita sepatutnya bermuhasabah dengan tatacara kehidupan seharian. Mungkin Allah hadirkan masa 14 hari ini sebagai hikmah dan nikmat waktu yang besar untuk kita bersama keluarga dan orang sekeliling.

Di kesempatan ini, marilah kita memperbaiki diri kita dengan melazimi solat berjemaah, memperbanyakkan tilawah al-Quran dan menghidupkan malam kita dengan amalan-amalan sunat. Tidak lupa untuk kita tambah ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya tempoh ‘bertenang’ yang diberikan oleh kerajaan akan melahirkan kita sebagai insan yang hebat!

Tidak lupa dengan ujian-ujian yang bakal bertandang sepanjang tempoh 14 hari ini. Hari-hari baru untuk kita lebih mengenali ahli keluarga, ahli rumah atau ahli bilik bagi yang belum berkahwin. Sudah pasti ada perbezaan pendapat dalam rutin kehidupan. Berbincang, bertolak ansur dan saling berlapang dada dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara kita malah menyinari ukhuwah!

Sekiranya kita mampu istiqamah dengan amalan harian yang kita lazimi semasa tempoh kawalan pergerakan ini sehingga bulan Ramadan, sesungguhnya ia akan menjadi lebih bermakna untuk Ramadan kita tahun ini. Allah memberikan kita ruang dan masa yang lebih awal pada tahun ini untuk menuju ke bulan mulia tersebut.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, terdapat tiga tingkatan dalam berpuasa.

Shaumul umum : Puasa ini hanyalah menahan daripada makan, minum dan hubungan suami isteri. Rasullullah S.A.W menyebutkan ini adalah puasa orang yang rugi.

Shaumul khusus : Puasa ini adalah selain menahan makan dan minum serta syahwat, bahkan menahan pandangan, pendengaran, ucapan, gerakan kaki dan tangan dari segala bentuk dosa. Puasa ini disebut sebagai puasa orang salihin.

Shaumul khususil khusus : Puasa ini ialah puasa hati dari kepentingan jangka pendek dan fikiran  duniawi serta menahan segala hal yang dapat memalingkan dirinya pada selain Allah SWT. Puasa ini disebut oleh Imam Al Ghazali, tingkatan puasa para nabi, Siddiqin dan Muqorrabin.

Oleh itu, dengan amalan ibadah yang kita praktikkan sepanjang tempoh ‘bertenang’ ini, di harapkan dapat membetulkan serba sedikit kekurangan dan kelompongan dalam diri kita sepanjang virus ini menyerang seterusnya menghapuskan virus-virus jahiliah dalam diri kita. Moga-moga di bulan Ramadan nanti, kita dapat mencapai tingkatan puasa yang terbaik di sisi-Nya.

Oleh Anis Nabilah Muhamad Tarmizi.

Ahli ISMA Seberang Perai Utara