Bekalan menuju akhirat

Setiap hari manusia membuat perancangan tentang bekalan yang ingin dibawa ke sana ke sini supaya melengkapi kehidupan seharian, tetapi bekalan seperti apakah yang ingin dibawa? Adakah bekalan wang, pakaian, alat solek, makanan atau ilmu?

Kehidupan dunia bukanlah kehidupan yang hakiki dan sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan kedudukan. Oleh itu, kita perlu mempersiapkan diri dengan bekalan dan yang boleh memberi manfaat kepada semua orang.

Tetapi adakah ianya berbentuk wang? Sudah pasti suatu hari nanti wang itu akan habis juga. Jadi, adakah berbentuk makanan? Makanan pun akan rosak dan tamat tempoh. Adakah pakaian yang penuh elegan dan bergaya? Suatu hari nanti pakaian tiada gunanya pada semua orang. Sekiranya ilmu, adakah bekalan ilmu yang kita ada mampu berpanjangan dan manfaatnya untuk semua orang?

Jika disentuh tentang ilmu, semestinya betul, tetapi ilmu yang seperti apa? Ilmu yang membawa perubahan kepada masyarakat untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu yang dimiliki itu sentiasa dikongsi dan berusaha membaiki norma masyarakat dari salah kepada yang benar.

Sebenarnya sebaik-baik bekalan ada pada Allah iaitu Al-Quran yang sentiasa mengingatkan manusia akan hari akhirat.

“Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat) (Surah At-Takasur:5)

Sebaik-baik bekalan adalah ilmu yang dimiliki sehingga membuatkan kita mengenali hakikat diri, alam, kehidupan dan Allah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu kejadian. Apabila kita mengenali diri sendiri, kita akan sentiasa mempersiapkan diri menghadapi ujian dan berusaha menolak hawa nafsu sendiri dalam kehidupan yang singkat ini. Dengan ini dimaksudkan bekalan amalan soleh ialah amalan yang dilakukan dengan istiqomah dan usaha untuk amalnya sentiasa bertambah, dari tertib solatnya, bacaan Al-Quran, baca faham dan amal setiap adab-adab dari sunnah Rasulullah, tidak lupakan juga adab kita bersama keluarga.

Wahai sahabat,

Ikhlaskanlah hati,

Bantulah diri,

Mencari bekalan untuk akhirat nanti,

Semoga Allah redha setiap amalan dari ilmu di dada kita ini.

Kebahagiaan di akhirat tidak mungkin dapat dinikmati tanpa melakukan amalan baik ketika hidup di dunia. Jika belum mencukupi, muhasabah semula, pilih jalan yang benar, gunakan ruang dan masa yang ada untuk kita tambah semula bekalan yang membolehkan kita yakin untuk dibawa pulang bertemu Allah.

Ingatlah ‘Tiada yang dapat mengubah diri kita melainkan usaha itu datang daripada diri kita sendiri’

Oleh Noorfazila Ramli

Ahli ISMA Seberang Perai Utara