Komunikasi berkesan, kunci kebahagiaan

Sungai Dua, 18 Feb – Komunikasi yang berkesan antara pasangan menjadi kunci kebahagiaan dalam mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni ditekankan dalam Program Kerana Aku Isteri Dia (KAID) anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) dengan tajuk “Happy Wife, Happy Life”.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan juga merangkap Ketua Wanita ISMA Seberang Perai Utara, Dr Norhasimah Ismail, dalam slotnya ‘Menjadi Wanita terbahagia’ berkata, setiap pasangan perlu memahami komunikasi antara pemikiran lelaki dan perempuan bagi mengelakkan masalah dalam berkomunikasi supaya wujudnya komunikasi penuh kasih sayang.

“Lelaki bersifat autonomi, fokus, memberi apabila diminta dan cenderung kepada menyelesaikan masalah, berbeza pula dengan perempuan bersifat emosi yang sentiasa memerlukan pendengar yang memahami, banyak memberi, mementingkan hubungan, banyak menggunakan bahasa tersurat dan tersirat, jadi apabila menghadapi sesuatu masalah, lelaki akan mencari penyelesaian manakala perempuan akan mencari pendengar untuk meluahkan masalah,”

“Isteri dan suami perlu saling memberi penghargaan supaya melengkapi satu sama lain dalam menyelesaikan masalah serta dapat membina rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang kerana Allah,” katanya.   

Sementara itu, Peguam Syarie merangkap Kaunselor Berdaftar, Puan Nur Azmina Paslan dalam slot ‘Dilema Wanita’ turut menekankan bahawa komunikasi berterusan elemen penting dalam rumah tangga.

“Pelbagai dilema wanita dalam rumah tangga perlu diatasi dengan komunikasi yang berkesan terutamanya pada awal perkahwinan, fasa penyesuaian yang penuh cabaran dalam memahami pasangan,”

“Penerimaan tanpa syarat pasangan dan proses pembelajaran berterusan sepanjang berumah tangga dapat menjamin keharmonian rumah tangga demi masa depan anak–anak,”

Tambahnya lagi, wanita perlu mengetahui hak sebelum, semasa dan selepas perkahwinan supaya berperanan dalam institusi kekeluargaan seterusnya mengangkat martabat seorang isteri.

Oleh Anis Nabilah Muhamad Tarmizi

Ahli ISMA Seberang Perai Utara