Jalan dakwah medium kasih sayang Allah kepada hamba

KEPALA BATAS, 14 Feb -“Memilih ISMA sebagai satu wadah yang mengajak masyarakat untuk kembali kepada Allah merupakan semulia-mulia amalan dan ibadah yang paling tinggi di sisi Allah SWT. Dakwah juga menjadikan matlamat hidup kita lebih terarah yakni untuk mengabdikan diri kepada Allah bertunjangkan Al-Quran dan Sunnah”

“Dakwah mampu menjadikan manusia mengenal Islam dan mengeluarkan mereka dari kemelut maksiat dan sangat beruntung kepada orang yang mati di jalan Allah,” demikian petikan kata-kata Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seberang Perai Utara (SPU), Ustaz Mohd Yusoff Abd. Mutalib semasa Saff 3.0 di Dewan Seminar Masjid At-Taqwa.

Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang menyerah diri)? (Surah Al-fussilat, 41: 33).

Saff 3.0 dijalankan bertujuan untuk memantau gerak kerja setiap biro ISMA SPU berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan sepanjang 2015. Perbincangan mengenai masalah, jalan penyelesaiannya serta projek-projek yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang 2016 turut dibentangkan dalam Saff 3.0.photo30486434237491546

Sementara itu, Naib Yang di-Pertua ISMA SPU, Dr Mohamad Zaki Ibrahim merumuskan bahawa kemenjadian dakwah ISMA SPU terletak pada bahu setiap individu dan bukan hanya bergantung kepada biro semata-mata. Beliau menyarankan untuk setiap ahli bergerak melakukan amal tajmik dan setiap program yang dilaksanakan perlu mempunyai indikator serta target yang jelas.

photo30486434237491547“Saff 3.0 sangat mengharapkan transformasi daripada setiap ahli dalam mengangkat agenda ISMA SPU. Kita boleh mengambil kejayaan Masjid At-Taqwa yang telah membuktikan bahawa meskipun tiada kepakaran dan dana pada 10 tahun yang lalu, tetapi mampu bergerak dan berkembang sehingga dikenali ramai pada hari ini dengan perancangan dan gerak kerja yang tersusun rapi,” katanya.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan
Wartawan Biro Penerangan
ISMA Seberang Perai Utara