Persediaan kembali ke sekolah

Bulan Disember adalah bulan yang penuh dengan aktiviti. Pelbagai aktiviti keluarga dilakukan pada waktu ini. Antaranya majlis kenduri kahwin, Hari Keluarga, aktiviti membeli pakaian sekolah dan alat tulis serta pelbagai lagi aktiviti yang telah disusun.

Walau bagaimanapun, persediaan untuk anak-anak masuk ke sekolah adalah memerlukan perancangan yang rapi. Antara persediaan yang perlu diambil berat ialah

  1. Alat tulis
  2. Pakaian  sekolah
  3. Pakaian dan peralatan asrama (bagi anak-anak yang tinggal di asrama)
  4. Buku sekolah
  5. Buku latihan dan rujukan (persendirian)
  6. Kelas tambahan (bagi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan)
  7. Yuran pengajian
  8. Yuran asrama
  9. Pengangkutan
  10. KAFA dan Transit
  11. Duit belanja anak di sekolah selama sebulan

Perancangan kewangan

Bagi ibu bapa yang mempunyai semua persediaan di atas, hendaklah perlu kepada perancangan kewangan yang baik. Cara yang terbaik adalah dengan menyenaraikan barang-barang yang perlu dibeli supaya tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Jika ibu bapa tersebut mampu menyediakan bajet yuran-yuran untuk setahun adalah amat digalakkan. Ini adalah kerana bagi mengelakkan berlakunya tunggakan yuran-yuran yang perlu dibayar setiap bulan.

Kelas tambahan

Kelas tambahan sudah menjadi trend ibu bapa masa kini. Jika kita melihat pandangan-pandangan dari golongan profesional dan kaunselor, ada yang bersetuju dan ada juga yang kurang bersetuju keperluan untuk anak-anak mengambil kelas tambahan. Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kemampuan emosi, fizikal dan intelektual anak-anak. Ada dalam kalangan anak-anak kita hanya memadai dengan kelas tambahan yang diadakan di sekolah. Tetapi ada juga anak- anak kita yang perlu ditambah lagi dengan kelas tambahan dari luar. Jika anak tersebut mampu hadapi dengan masa dan situasi tersebut kita teruskan. Ada juga dalam kalangan anak-anak yang akan berasa tertekan kerana hidup kanak-kanak mereka terlalu penuh diisi dengan belajar. Kadang-kadang jika situasi ini terlalu serius, boleh membawa kepada penyakit mental dan emosi anak-anak tersebut.

Ulang kaji pelajaran

Seeloknya sepanjang cuti sekolah, minta anak-anak membaca sepintas lalu buku-buku teks yang mereka dapat untuk persediaan mereka pada tahun hadapan. Apabila sekolah telah dibuka, mereka tidak terlalu terkejut dan terpinga-pinga apabila diajar oleh guru mereka. Jangan dilupakan juga latihan-latihan dari pelajaran tahun lepas. Ibu bapa perlu berpesan kepada anak-anak supaya tidak tinggal terus pelajaran sepanjang cuti sekolah ini, cukup sekadar hanya membuat beberapa soalan sahaja.

Perkhidmatan van dan bas

Bagi ibu bapa yang bekerja dalam jarak yang agak jauh dengan sekolah anak-anak seeloknya dapatkan pengangkutan yang terbaik untuk anak-anak. Kebiasaannya pengangkutan yang disediakan adalah van dan bas. Pastikan van atau bas yang kita ambil mempunyai lesen yang berkaitan. Elakkan dari mengambil pengangkutan persendirian. Zaman kini terlalu banyak isu dikaitkan dengan pengangkutan sekolah terutamanya dari sudut keselamatan.

Perkhidmatan transit

Begitu juga dengan tempat transit yang diambil oleh ibu bapa. Pastikan tempat transit tersebut boleh dipercayai dan mendapatkan transit yang mempunyai lesen jagaan kanak-kanak dari badan yang bertauliah. Pastikan makan minum anak-anak kita terjaga, solat mereka terjaga, kebersihan diri mereka terjaga.

Tinggal di asrama

Persediaan masuk ke asrama juga tidak kurang banyaknya. Pastikan peralatan dan pakaian anak-anak kita mencukupi supaya mereka selesa lalui hari-hari sepanjang di asrama. Selain itu, beri kata-kata nasihat dan semangat kepada anak-anak. Selalu ambil peduli jika terdapat kelainan ke atas anak-anak kita. Antaranya jika

  1. Barang-barang yang mereka bawa balik bukan dari barangan yang dibeli
  2. Fizikal anak-anak kita terdapat kesan-kesan tertentu
  3. Tabiat pelik dari diri mereka contoh suka kepada sesama jantina
  4. Perubahan pada diri anak tersebut (melibatkan kesihatan anak-anak)

Dorongan kepada anak-anak

Terakhir sekali sebagai ibu bapa kita perlu pastikan anak-anak sentiasa bersemangat

dan punya motivasi yang tinggi sepanjang tempoh persekolahan.

  1. Dorong anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat yang tertinggi
  2. Pastikan mereka sentiasa hargai dan hormati guru mereka
  3. Sentiasa menjaga kekemasan dan kebersihan diri
  4. Sentiasa menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak. Dengan persediaan awal membolehkan anak-anak berjaya di dunia dan akhirat serta menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Oleh Salini Suid

AJK Biro Keluarga & Masyarakat (BKM),

ISMA Seberang Perai Utara