Part 3

Saya meminta mereka menghantar surat jemputan rasmi bagi memudahkan saya meminta cuti dari majikan. Melalui surat itu juga saya sekali lagi teruja bercampur tidak percaya! 

Ketika nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut pada hari konvokesyen, saya melihat wajah emak dan abah yang saya kasihi. Masih saya ingat janji yang saya ikrar 5 tahun lepas, bahawa saya pasti akan menebus kesalahan itu. Saya melihat mereka tersenyum. Saya hanya mampu berterima kasih atas keyakinan mereka yang tidak pernah berbelah bahagi.

Ketika Raja Muda menyampaikan anugerah, baginda bertanya tentang apa yang saya sedang lakukan sekarang. Apabila saya menyatakan bahawa saya kini adalah pensyarah Bahasa Korea di sebuah kolej swasta, baginda kelihatan begitu teruja. Perbualan kami itu berjaya mencuri tumpuan lensa dan hadirin yang pastinya tertanya-tanya apakah yang kami bualkan di atas pentas tersebut. Daulat, tuanku!

Saya menanam hasrat untuk menyambung siri Opah Gangnam Style kerana merasakan ada banyak kisah yang masih belum diceritakan. Namun kesibukan harian menyebabkan hajat tersebut masih tertangguh. Begitulah kisah saya, dari seorang yang GAGAL sehinggalah kegagalan itu berjaya dipecahkan. Suka untuk saya tegaskan bahawa, kecemerlangan akademik adalah natijah dari kecemerlangan aspek lain. Tiada guna andai hanya cemerlang akademik tetapi rosak akidah, buruk akhlak dan sebagainya. 

Wallahualam. Semoga bermanfaat!
Dengan tulus dari lubuk sanubari,

Zulaihah Karim

Kisah ini ditulis pada 6 Nov 2017