Part 2

Saya bangkit kembali. Saya tahu Allah mahu beri lebih dari apa yang saya ada kini. Saya tingkatkan usaha, saya gandakan tawakal. Saya mula mengenal Allah yang dulu terasa begitu jauh. Saya mula aktif berpersatuan Islam di sana bersama ISMA Korea. Saya meluangkan masa untuk menghadiri majlis ilmu, duduk dalam bulatan, berqiamullail bersama rakan, berkelah sambil melihat keindahan ciptaan Allah dan banyak lagi aktiviti lain yang bermanfaat. Saya kira waktu itu adalah waktu yang paling bahagia dalam hidup saya, setelah jiwa saya begitu tertekan saya mula merasai semula ketenangan itu.

Saya bergraduasi pada tahun 2015, dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. Ketika saya melihat sijil tersebut, air mata keluar dahulu sebelum senyuman. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa payahnya saya bergelut dalam perjuangan meraih ilmu ini. Alhamdulillah, saya berjaya bergraduasi dan pulang semula ke tanah air. Namun kisah ini tidak tamat di sini sahaja.

Saya pulang ke Malaysia dan mula melapor diri kepada penaja. Sejurus sampai di kampung, terus saya coretkan kisah duka saya di Korea di naskah Opah Gangnam Style. Ya, saya tahu kisah kegagalan saya bukanlah sesuatu yang seronok untuk diingati namun semoga ia menjadi iktibar buat semua yang sedang bergelut dalam perjuangan mencari ilmu.

Saya memilih untuk menyambungkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana. Nun jauh di utara, sebuah universiti tempatan menjadi pilihan saya. Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan); MBA(EM) menjadi pilihan saya. Kali ini saya tidak ditaja oleh sesiapa melainkan pihak Mybrain 15 menawarkan biasiswa untuk yuran pengajian.

Di negeri harum manis tersebut, sambil belajar saya terpaksa bekerja untuk mendapatkan duit belanja harian. Meskipun ibu bapa saya sentiasa menawarkan untuk menaja duit poket, saya menolak dengan baik dan mengatakan bahawa sudah tiba masa saya berdiri di atas kaki sendiri dan kini giliran saya pula yang menghulur duit kepada mereka. Dengan berat hati, mereka bersetuju.

Saya bekerja sebagai guru kafa sambilan. Saya berjaya mendapat pekerjaan tersebut menggunakan kelebihan saya bersekolah agama di peringkat menengah. Selesai mengajar di sebelah petang, saya bergegas ke kelas MBA pada waktu malam. Di sebelah pagi, saya gunakan untuk menyiapkan tugasan kerja; menanda buku murid kafa, menyiapkan rancangan mengajar serta menyiapkan tugasan kuliah dan mengulangkaji. Adakalanya saya mengambil upah melipat dan menggosok baju. Hujung minggu, saya bergegas ke kampus yang jauhnya 3 jam perjalanan untuk menghadiri kuliah di sana pula. Saya juga mewajibkan diri menghadiri kelas agama bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) seminggu sekali. Saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga saya tetap diberikan kesihatan dan semangat yang berterusan untuk menyelesaikan MBA sehingga akhir. Siapa kata graduan luar negara pulang disambut seperti anak raja? Kami juga bersusah payah seperti graduan tempatan.

Setahun setengah saya di sana. Saya masih aktif berpersatuan islam seperti ketika saya di Korea. Bahkan saya turut menyandang beberapa jawatan dalam organisasi tersebut. Saya merasakan perubahan positif dari sudut berfikir dan bertindak berbanding dahulu. 

Saya selesai pengajian dan membentangkan tesis pada waktu yang ditetapkan. Saya sudah ditawarkan bekerja di Shah Alam sebelum majlis konvokesyen. Maka saya berhijrah ke sana. Hampir setahun saya bekerja sambil menunggu majlis konvokesyen pada Oktober 2017. Akhirnya seminggu sebelum majlis tersebut, saya menerima panggilan dari pihak universiti.

Mereka menjemput saya menghadiri majlis makan malam. Saya terkejut. Berkali-kali saya meminta kepastian. Mungkin mereka tersalah orang. Mustahil budak yang pernah menerima surat amaran disebabkan pointer rendah, kini dijemput menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik. Menurut pihak universiti, pingat akan disampaikan oleh Raja Muda, maka saya diminta berpakaian yang bersesuaian.

Bersambung…..