Muslim Sepakat, Islam Berdaulat

Pulau Pinang – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan agar kepimpinan umat Islam di Pulau Pinang bersatu demi mencapai keutuhan agama Islam pada masa akan datang.

Yang Dipertua, Ustaz Abdul Rahim Sudin berkata, peringatan tersebut perlu diambil serius oleh semua pihak. ISMA SPU sebuah NGO Melayu Islam sederhana bersedia menyahut titah Tuanku untuk berperanan sebagai barisan hadapan bagi menegakkan agama Islam.

“Alhamdulillah, titah tuanku mengenai penyatuan perlu dipandang serius supaya kepimpinan umat Islam di Pulau Pinang sentiasa berada di landasan yang betul,”

“Kami menjunjung titah Tuanku dan berharap semua pihak merealisasikan peringatan tersebut supaya Islam terus memimpin,” katanya.

 الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا .وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ‏. صحيح البخاري

Sesungguhnya orang Islam itu seperti sebuah binaan dengan mengukuhkan antara satu sama lain” (Riwayat Bukhari)

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan barisan kepimpinan umat Islam di Pulau Pinang sentiasa bersatu padu supaya setiap perancangan syiar Islam boleh berlaku dengan lebih berkesan.

Kesatuan dalam kalangan pemimpin Melayu Islam bukan saja mampu menjaga survival Islam di Pulau Pinang, bahkan mampu mewujudkan kestabilan politik dan menjamin kelangsungan hubungan baik di antara pelbagai kaum dan budaya pelbagai yang berada disini.

Untuk mencapai hasrat suci titah Tuanku ini, semua pihak tanpa mengira pelbagai fahaman politik dan pegangan yang berbeza mestilah sentiasa berusaha menyuburkan titik persamaan dan bersatu dalam perkara pokok serta berlapang dada menangani isu-isu cabang serta berusaha menanganinya secara berhemah.