3 tips persediaan Ibu bapa bagi penerusan persekolahan Anak-anak ke Sekolah Menengah

Anak-anak merupakan permata berharga, amanah yang Allah berikan kepada ibu bapa untuk mendidik dan mencorak menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Anak-anak akan terdidik mengikut acuan ibu bapa itu sendiri. Tidak dinafikan, faktor persekitaran juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi keperibadian anak-anak.

كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ

 “Setiap anak yang lahir dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”(Diriwayat oleh Abu Hurairah)

Hampir semua ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya. Tetapi ibu bapa pada hari ini tidak mampu mendidik anak-anak sendirian tanpa bantuan daripada sistem persekolahan. Ditambah pula dengan ketidakstabilan ekonomi hari ini, terdapat ibu bapa yang terpaksa memerah keringat serta membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap rezeki sehingga tiada ruang masa yang boleh diperuntukkan dalam pendidikan anak-anak. Maka sekolahlah menjadi tempat utama dalam pendidikan anak-anak.

Bermula dari sekolah tadika atau pra sekolah, sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, ibu bapa yang mempunyai matlamat dalam mencorak anak-anak akan berusaha mencari sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ini adalah bagi merealisasikan impian ibu bapa yang mahukan anak-anak terdidik dengan akhlak serta budi pekerti yang mulia di samping berjaya dalam bidang yang diceburi.

Pada umur 12 tahun, kebanyakan anak-anak belum boleh memikirkan masa depan mereka dengan sempurna. Maka ibu bapa perlu  memainkan peranan penting dalam menjelaskan dan memberi kefahaman sehingga mereka faham dan jelas ke mana hala tuju mereka setelah mereka tamat pengajian di sekolah rendah. 

Kebiasaannya, selepas tamat sahaja peperiksaan UPSR, anak-anak tahun enam adalah yang paling gembira dan ceria. Ini kerana, tiada lagi kelas tambahan siang dan malam. tiada lagi kerja sekolah yang perlu disiapkan. Aktiviti di sekolah akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti di luar kelas yang menyeronokkan seperti lawatan, perkhemahan dan juga sukan.

Tetapi di sebalik keseronokan anak-anak tahun enam itu, kebiasaannya ibu bapa yang mempunyai matlamat yang jelas terhadap anak-anaknya akan mula memikirkan ke manakah hala tuju anak-anak selepas UPSR. Secara tidak langsung emosi ibu bapa akan sedikit terganggu kerana perlu memikirkan masa depan anak-anak. Jika ibu bapa tidak bertindak untuk memikirkan, di bimbangi anak-anak akan membesar dalam keadaan tiada hala tuju dan matlamat. Akhirnya kemenjadian anak-anak tidak tercapai seperti yang diidam-idamkan.

Oleh itu, beberapa persediaan yang perlu diambil kira oleh ibu bapa dalam penerusan persekolahan anak-anak ke sekolah menengah. Di antaranya ialah merancang pemilihan sekolah yang bersesuaian dengan potensi, kecenderungan dan minat anak-anak di samping memenuhi cita rasa ibu bapa, persediaan keperluan sebelum ke sekolah dan persediaan emosi di hari pertama sesi persekolahan.

1. Pemiihan sekolah

  • Menyenaraikan dan memilih  sekolah mengikut kecenderungan  dan potensi anak-anak di samping memenuhi impian ibu bapa. Terdapat beberapa jenis sistem sekolah di Malaysia. Antaranya :

a)Sekolah bersistem asrama:

– Sekolah berasrama penuh (SBP)  

– Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

– sekolah kawalan

– sekolah agama bantuan kerajaan

-sekolah asrama swasta

b) Sekolah harian –  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),

c) Sekolah aliran agama – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

d) Sekolah aliran biasa  

e) Sekolah aliran tahfiz

     -Madrasah atau pondok

f) Sekolah aliran agama dan tahfiz

– MRSM Ulul Albab, Maahad Tahfiz  Sains, SMKA TMUA

-Pemilihan ini perlulah berdasarkan persetujuan anak-anak. Elakkan daripada memaksa anak-anak mengikut sekolah pilihan ibu bapa semata-mata kerana di bimbangi anak-anak tidak merasa seronok di sekolah dan akhirnya masa akan disia-siakan di sekolah tersebut.

  • Semak dan periksa dulu silibus yang diajar di sekolah tersebut agar mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.  
  • Jika sekolah berdekatan, bawalah anak ke sekolah yang bakal mereka bersekolah di sekolah menengah tersebut supaya mereka mempunyai perasaan seronok dengan suasana sekolah tersebut.
  • Menyusun tarikh untuk sesi temuduga bagi pemilihan sekolah asrama atau tahfiz.

-Persiapan yang rapi perlu dibuat terutama dengan menjangkakan soalan-soalan yang mungkin akan ditanya oleh penemuduga.

-Ibu bapa perlu memberi semangat dan sokongan pada anak-anak supaya anak-anak akan sentiasa bersemangat semasa sesi temuduga berlangsung.

  • Menunggu keputusan temuduga atau permohonan ke sekolah yang dipilih.

-Jika banyak tawaran sekolah yang diterima, bermunajatlah pada Allah agar pemilihan yang dibuat adalah tepat dan terbaik untuk anak-anak.

  • Pilih sekolah berdasarkan potensi, kecenderungan dan minat anak-anak serta menepati citarasa ibu bapa.

Jika anak-anak memang berminat untuk ke sekolah yang sama cita rasa dengan ibu bapa maka proses pemilihan akan menjadi lebih mudah. Emosi ibu bapa dan anak-anak akan sedikit terganggu sekiranya cita rasa pemilihan sekolah tidak sama di antara ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa harus pandai mengawal emosi dan tidak terlalu mendesak anak-anak walaupun kadangkala ibu bapa merasakan anak-anak tidak berfikir secara matang dan tidak nampak hala tuju. Ibu bapa perlu menjelaskan dan memahamkan dengan cara yang sangat berhikmah sehingga anak-anak boleh menerima cadangan ibu bapa dengan seikhlas mungkin.

2. Persediaan keperluan ke sekolah

  1. Pembayaran yuran sekolah, yuran asrama, buku dan lain-lain

-Senaraikan yuran yang perlu dibayar dan cara pembayaran sama ada secara tunai, bank in di kaunter bank atau boleh dibuat secara online.

2. Pembelian pakaian sekolah

-Senarai keperluan pakaian sekolah ini biasanya telah dilampirkan bersama surat tawaran ke sekolah. Terdapat berbagai jenis baju yang perlu disediakan. Senaraikan semua pakaian tersebut sewal mungkin. Terdapat juga baju yang perlu ditempah oleh ibu bapa. Di antara keperluan yang perlu disediakan, baju seragam sekolah, baju batik, baju sukan, baju kelas malam, baju kokurikulum, kasut, tali leher, baju Melayu, jubah dan lain-lain

3. Penyediaan keperluan asrama (Jika bersekolah asrama)

-t-shirt harian, kasut sukan, seluar sukan, baldi, barang mandian, sabun basuh, ubat-ubatan seperti minyak panas dan lain-lain

3. Persediaan emosi di hari pertama persekolahan

  1. Persiapkan emosi anak-anak

-Anak-anak akan teruja untuk bersiap awal dan bersemangat ke sekolah. Berbagai reaksi anak-anak tingkatan 1 yang baru masuk ke asrama. Mereka tidak pernah berpisah dengan ibu bapa. Inilah kali pertama mereka berpisah. Akan ada anak-anak yang ingin mengikut ibu bapa pulang ke rumah dan tidak mahu tinggal di asrama. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menasihati, memberi kata-kata semangat serta memperingatkan kembali tentang tujuan anak-anak ke sekolah tersebut.

2. Persiapan emosi ibu bapa

-Bukan sahaja anak-anak tidak mahu berpisah dengan ibu bapa, malah terdapat juga ibu bapa yang teringat pada anak-anak dan sanggup ke sekolah anak-anak untuk melihat anak-anak dari jauh. Ibu bapa perlu mengawal perasaan emosi ini agar tidak dapat dihidu oleh anak-anak. Ini penting bagi memastikan anak-anak tinggal di asrama dalam keadaan emosi yang stabil.

Semasa di asrama, anak-anak tingkatan 1 akan dilatih berdikari. Tiada lagi ibu bapa yang boleh menyiapkan pakaian yang siap bergosok. Tiada lagi ibu bapa yang mengejutkan awal pagi untuk solat subuh dan ke sekolah. Tiada lagi ibu bapa yang memanggil untuk sarapan. Tiada lagi kedengaran suara adik-adik yang riuh di awal pagi. Semuanya perlu dilakukan sendirian dengan bantuan kawan-kawan yang prihatin. Di saat inilah anak-anak akan teringat segala pengorbanan ibu bapa dan ibu bapa juga akan terdetik di fikiran, bagaimana agaknya keadaan anak mereka. Berbagai persoalan timbul sama ada anak mereka sempat makan atau tidak, mempunyai kawan-kawan atau tidak, dan sebagainya. Jiwa ibu bapa juga turut memberontak untuk ingin  tahu perkembangan anak-anak tetapi kebiasaannya di awal minggu pertama iaitu minggu orientasi anak-anak tidak dibenarkan untuk berhubung dengan sesiapa pun.

Ibu bapa perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Terdapat berbagai peraturan yang perlu dikuatkuasakan bagi mendisiplinkan anak-anak. Anak-anak perlu didiidik supaya berdisiplin dengan harapan apabila mereka dewasa kelak mereka menjadi generasi yang menghargai masa dan sentiasa berdisplin. Ibu bapa juga perlu mengawal emosi walaupun sedih untuk berpisah tetapi demi masa depan anak-anak maka relakan lah anak-anak dididik dengan peraturan sekolah di asrama. Agar mereka menjadi anak yang boleh patuh dan taat dengan peraturan yang ada kerana peraturan yang diwujudkan biasanya adalah demi untuk kebaikan anak-anak juga. Berkorbanlah sedikit perasan demi masa depan anak-anak.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini kita sama-sama dapat membuat persiapan yang rapi dalam menentukan hala tuju dan masa depan anak-anak. Kita hanya merancang. Allah jualah penentu segalanya-galanya dan sesungguhnya perancangan Allahlah yang lebih tepat berbanding dengan perancangan manusia.

Oleh,

Shahilah Nordin

Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), ISMA SPU

Pensyarah Kanan UiTM Pulau Pinang