Pointer teruk tapi dapat anugerah!

Part 1

Saya merupakan pelajar lulusan universiti Korea dalam bidang kejuruteraan. Setelah bergraduasi pada tahun 2015, saya pulang ke tanah air sebagai seorang yang begitu bersemangat untuk kembali berbakti pada tanah air dan rakyat yang telah menghantarnya ke luar negara. Itulah cita-cita yang terpahat di hati saya sehingga kini.

Universiti Hanyang, salah sebuah universiti kejuruteraan yang terbaik di Korea

Semasa saya di Korea, kuliah, kerja rumah, kerja kursus, kerja berkumpulan, assignment, projek akhir tahun semuanya dalam bahasa Korea. Sedangkan bahasa Inggeris pun sudah ramai yang mengeluh, cuba bayangkan kesusahan kami ketika itu. Namun sepanjang lima tahun di sana, di sebalik kejayaan saya bergraduasi dengan cemerlang ada cerita duka yang saya akan kenang sepanjang hayat. Biar saya ceritakan di sini supaya kalian yang membaca mendapat semangat super saiya dan kekal bermotivasi untuk berjuang sehingga akhir.

Pada tahun pertama, setelah menamatkan kursus bahasa Korea selama setahun, saya mendaftarkan diri di sebuah universiti nan indah di Incheon. Kata orang Korea, universiti ini adalah antara yang terbaik dalam kategori Engineering College selepas Hanyang Universiti. Semuanya kelihatan bagus. Saya masih makan kimbab, jumokbab, bibimbap, bibimmyeon dengan gembira bersama rakan di kedai ajumma yang sangat arif tentang keperluan halal kami. Saya suka berbual dengan orang Korea, sehingga ada seorang ajosshi berkata, “kamu ni dah macam orang Korea”. 

Apabila memasuki tahun kedua, subjek yang asas dan mudah, diganti dengan subjek teras kejuruteraan. Kuliah berganti kuliah namun banyak bahagian yang saya tertinggal kerana keterbatasan bahasa. Bahasa pasar dengan bahasa buku lain sekali bentuknya. Saya tidak putus asa. Saya belajar bersama rakan. Tetapi malangnya, meskipun belajar bersama, rakan-rakan saya jauh meninggalkan saya. Mereka dapat markah bagus manakala saya mendekati angka gagal dan adakalanya markah hanya hanya satu angka per seratus. 

Saya menangis sehingga rasa seperti mahu berhenti belajar dan pulang sahaja ke Malaysia. Apa guna saya teruskan belajar, andai saya bakal merugikan duit rakyat. Meskipun tertekan, saya tetap meneruskan pengajian. Rakan-rakan saya menyatakan rasa kesal kerana saya hampir gagal, tetapi itu bukan salah mereka pun. Cuma sahaja saya yang bermasalah untuk memahami pelajaran itu. 

Sehinggakan suatu hari, saya menerima keputusan peperiksaan untuk semester satu tahun kedua. Seperti yang dijangka, seminggu selepas itu saya dipanggil ke kedutaan. Rupa-rupanya surat amaran pertama telah dipos ke Malaysia. Mereka yang menerima pointer di bawah 2.5 dari 4.5, akan menerima surat tersebut sebagai amaran, yang dikeluarkan sebanyak 3 kali sebelum pelajar ditamatkan penajaan. 

Yang saya pegang di tangan kini ialah salinannya sahaja. Saya membayangkan hati emak dan abah yang remuk redam di kampung. Saya takut sekali andai dihantar pulang ke Malaysia dan diminta membayar semula hampir ratusan ribu. Saya tidak dapat membayangkan andai emak dan abah terpaksa bergolok gadai membayar kesalahan saya yang satu ini.

Saya terduduk terpaku tertegun di bilik pegawai tersebut. Beliau ialah pengantara antara penerima biasiswa dan pihak penaja. Bunyi penghawa dingin terasa seperti mengejek saya. Bunyi jam di dinding, bunyi hon kereta di luar semuanya seakan mentertawakan saya. Saya menangis tanpa segan silu di situ juga. Saya sudah berusaha, namun saya tetap gagal! Proses kaunseling tersebut berlangsung sehingga petang. Memegang janji bahawa pegawai tersebut akan menyimpan perkara ini sebagai rahsia, saya membuka cerita tanpa berselindung. Alhamdulillah pegawai tersebut bertindak sebagai  ibu dan memberikan solusi dan pandangan yang saya kira, umur remaja saya ketika itu membataskan pemikiran saya. Kata beliau, surat amaran pertama bukanlah penamat segalanya. Bahkan anggaplah ini sebagai satu sentuhan lembut dari Dia untuk membangunkan saya dari lena yang selesa ini.

Alhamdulillah, saya tidak terjun ke Sungai Han seperti kebanyakan orang Korea yang kecewa.

Bersambung…