Surat Untuk Kamu oleh Zulaihah Karim

Kepada mahasiswa mahasiswiku,

Hari ini aku digelar pemalas.

Aku dituduh kaki ponteng kelas.

Aku dilabel suka meniru dalam peperiksaan.

Benarkah kenyataan yang dilemparkan kepada diriku ini?

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary

Wan Nur Mafudah Wan Yusof, anak jati Jertih telah mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) pada tahun 2018. Anak ketiga dari tujuh beradik itu merupakan anak Melayu pertama yang mendapat tempat tertinggi di peringkat dunia. Berhasrat mahu mengubah nasib keluarga, dan menyahut seruan kerajaan meramaikan anak melayu dalam bidang perakaunan, Mafudah bangkit membuktikan anak bangsaku bukan pemalas!

Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, anak jati Sungai Petani merupakan pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) memiliki lebih 40 buah helicopter, 4 buah jet persendirian dan kontrak bernilai RM 8 billion bagi membawa pekerja pelantar minyak. 13 tahun selepas berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, beliau bermula dari bawah dengan menjalankan bisnes kereta terpakai. Kemudian usaha gigih beliau berjaya membuahkan hasil apabila beliau dilantik menjadi pengedar Honda, kemudian Chevrolet dan Suzuki. Tuntutan perniagaan memerlukan beliau bergerak dengan lebih pantas, maka sebuah helikopter dibeli untuk kegunaan peribadi dan juga disewakan sekiranya ada permintaan. Begitulah perniagaan beliau berkembang seterusnya membuktikan anak bangsaku bukan pemalas!

Dr Muhammad Afifi al-Akiti, anak jati Batu Gajah merupakan seorang felo pensyarah di Pusat Pengajian Islam Oxford, Pensyarah Fakulti Teologi Universiti Oxford dan felo pensyarah di Worcester College, Oxford lalu menobatkan beliau sebagai pensyarah Melayu pertama di universiti terkemuka dunia itu. Pada 2010, beliau telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam Negeri Perak. Tesis Ijazah Kedoktoran Falsafah beliau ditulis berdasarkan kaji selidik mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan dan beberapa kajian lain. Hebat, bukan?. Sekali lagi, beliau menyangkal dakwaan anak bangsaku pemalas!

Begitu banyak kisah yang memberitahu kita bahawa, seorang muslim yang sejati akan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa sahaja pekerjaan yang dilakukannya. Justeru sebagai pelajar, haruslah dijadikan medan pengajian itu sebagai platform pertama untuk terus mencipta kejayaan-kejayaan besar di masa hadapan. Tidak seharusnya masalah disiplin seperti ponteng dan meniru dalam peperiksaan menjadi batu penghalang yang melambatkan perjalanan kita menuju destinasi kejayaan. Uruslah masa, uruslah kewangan, uruslah prioriti supaya kehidupan mahasiswa dimaksimakan.

“Sesungguhnya Allah tidak merubah ‘apa-apa/keadaan yang ada pada suatu kaum’, hingga mereka mengubah apa-apa/keadaan yang ada pada jiwa-jiwa mereka.” 13:11

Aku sedang menunggu kamu untuk kembali mencurah bakti dan membangun bersama. Ayuh, berjuanglah dan segera pulang. Padamkan fitnah ‘malas’ yang dipalit ke wajahku ini.

Yang benar, Bangsamu Melayu.