‘No Gadget Hour’ bantu Ibu Bapa prihatin

KEPALA BATAS, 4 Safar 1441H, Khamis – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kepala Batas mengadakan program ‘No Gadget Hour’ untuk membantu Ibu bapa yang prihatin tentang penggunaan masa dengan lebih berkualiti bersama anak berbanding mengutamakan penggunaan gajet.  

Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Seberang Perai Utara (SPU), Puan Shahilah Nordin hadir bagi merasmikan program berkenaan.

Shahilah berkata, inisiatif untuk mengadakan program itu tepat pada masanya dalam menyediakan ibu bapa yang mendidik anak-anak menjadi generasi soleh dan solehah serta tidak bergantung kepada gajet sepenuhnya.

“Ketagihan gajet boleh menjadikan anak-anak sukar atau tidak mahu untuk menguruskan diri sendiri seperti makan minum, membersihkan diri serta solat,” katanya.

Sementara itu, dalam Slot 1, Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Wilayah Utara, Puan Norrazlina Nordin berkata terdapat 70% pengguna internet di Malaysia.

“Kebanyakan remaja yang berusia 15 tahun mempunyai telefon bimbit sendiri dan remaja menggunakan media sosial untuk mencari kenalan baharu,”

“29.9% telah memaparkan profil diri sebagai Umum untuk menambah kenalan, 54.9% menerima pesanan yang tidak sepatutnya daripada orang asing (random strangers), dan 60% remaja telah berjumpa dengan kenalan atas talian,“ katanya ketika berucap mengenai ‘Kesan Teknologi kepada Masyarakat’.

Slot’ Anak vs Gajet : Di mana Peranan Ibu bapa?’ disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan LPPKN, Wan Nur Azlina Wan Abd Rahman menerangkan bahawa ketagihan yang tinggi kanak-kanak terhadap gajet ibarat seperti ketagihan dadah dan arak.

“Peranan ibu bapa amat penting dari segi pemantauan dan had masa. Kanak-kanak kurang 2 tahun, tidak sepatutnya diberikan gajet, 3  hingga 5 tahun sepatutnya 1 jam sehari, dan 6 – 18 tahun hanya 2 jam sehari,” katanya.

Manakala slot terakhir bertajuk ‘Gajet dan Implikasi kepada Kesihatan Mental Kanak-kanak’ membincangkan permasalahan kesihatan yang boleh menjejaskan perkembangan otak.

“Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada aspek sosial dan kognitif iaitu mempunyai  masalah pertuturan, kurang tumpuan, dan menganggu kemahiran sosial,” kata Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah & Aktivis I-Medik Alor Setar, Dr Noor Tahirah Abdul Karim.

Oleh Hana Mohamed Hear

Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM),

ISMA Seberang Perai Utara