Pengurusan Stress: Hanya Wanita memahami Wanita

Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan atau stress.  Pun begitu, jika diurus dengan baik, stress akan menjadikan seseorang individu itu lebih baik dalam kehidupannya. Sebaliknya, jika tidak diurus dengan baik maka akan memudaratkan pula. Maka tak hairanlah, jika banyak kes-kes bunuh diri, terlibat dengan dadah, arak, dan masalah sosial  lainnya sering didedahkan di media massa mahupun media sosial saban hari kesan daripada kegagalan menguruskan stress.

Melihat kepada isu-isu ini, Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seberang Perai Utara (SPU)  tampil menganjurkan Sembang Santai Wanita Dari Hati ke Hati: Hanya Wanita Memahami Wanita. Sembang santai ini menampilkan figura hebat dari bidang perubatan, Dr Norhasimah Ismail, Pakar Perunding Perubatan dan Keluarga merangkap Ketua Wanita ISMA SPU.

Dr Norhasimah Ismail menjelaskan stress terjadi akibat daripada tindak balas fizikal, mental dan emosi ke atas situasi yang mengganggu keadaan seseorang individu.

“Apabila kita stress, hormon adrenalin akan dirembeskan. Jika dibiarkan berlarutan, stress boleh mengakibatkan ekzema, tekanan darah tinggi, asma, keletihan yang melampau dan juga ulser,”

“Biasa dalam rumah tangga ni, suami akan stress dengan isteri. Kadang-kadang, isteri pun ada stress dengan suami. Suami balik lambat sebab banyak kerja, tapi isteri pula fikir yang bukan-bukan. Habuannya, suami kena berleter. Stress suami. Dalam situasi  meruncing seperti ini, suami atau isteri hendaklah mengubah dan mengawal diri daripada stress sebelum berlakunya perkara yang tak diingini,” katanya lagi.

“Kenapa kita stress? Banyak faktor. Antaranya adalah daripada diri sendiri. Contohnya kita terlalu meletakkan cita-cita dan harapan yang tinggi sehingga diri sendiri tak mampu nak capai. Selain itu, apabila kita merasakan diri sendiri tak bagus, kurang keyakinan diri, dan takut untuk gagal juga boleh mendatangkan stress,

Stress juga boleh berlaku apabila seseorang itu pernah mengalami sesuatu tragedi atau trauma  dalam hidupnya. Bahkan, jika seseorang itu menghidap sesuatu penyakit kronik juga secara tidak langsung mengundang stress dalam diri.

“Nak tahu sama ada diri kita stress atau tak, lihatlah pada fizikal kita. Jika ada tanda-tanda seperti pernafasan kita menjadi laju, sakit perut, cirit-birit, cepat letih, lenguh-lenguh badan dan jantung berdebar-debar, maknanya kita tengah stress lah tu. Selain itu, daripada psikologinya juga, jika kita cepat gelisah, marah-marah, lemah semangat, kurang daya tumpuan, mudah lupa, takut gagal, bosan, murung dan juga rendah diri; itu juga adalah antara petunjuk yang menandakan kita sedang stress. Bukan itu sahaja, bahkan tingkah laku seseorang yang keterlaluan daripada kebiasaannya juga jelas menunjukkan bahawa mereka sedang mengalami stress,”

“Stress betullah tak boleh dihilangkan sepenuhnya. Tapi boleh diurus dan dikurangkan. Melalui teknik pernafasan, tutup mata kita, kemudian tarik dan hembus nafas sambil lapangkan fikiran dan bayangkan perkara yang indah-indah. Buatlah.  Kita akan rasa lebih tenang dan selesa. Sebagai seorang muslim, solat juga merupakan kaedah yang paling mujarab untuk mengurus stress. Bukan itu sahaja, ambillah peluang untuk mempelajari kemahiran ketegasan diri, penyelesaian konflik, pengurusan masa dan pengurusan emosi untuk kita belajar menangani kemarahan ini secara berkesan. Tiga cara asas yang  boleh diaplikasikan adalah, berhenti, berfikir dahulu sebelum cakap, dan kemudian bertindaklah,”

“Suri rumah contohnya, rutin harian setiap hari adalah sama. Masak, mengemas, basuh baju, jaga anak dan rutin-rutin ini beredar sama sahaja dalam sehari-harian . Elok kita kemas ruang tamu, kemudian masak di dapur, si anak bertuah bawa keluar mainan bersepah depan ruang tamu. Si suami balik kerja penat-penat, si isteri pula dimarahi. Sebagai seorang muslim, didiklah diri kita apabila berhadapan dengan situasi stress seperti ini, bersyukurlah. Bersyukurlah kepada Allah kerana mengurniakan pasangan hidup sedangkan, di luar sana ramai lagi yang hidup berseorangan. Bujang, janda, gelandangan dan sebagainya. Bersendirian tanpa teman hidup. Bersyukurlah juga kepada Allah, kerana setiap kali balik rumah bersepah dengan mainan anak-anak. Isyarat, rumah kita dimeriahkan dengan anak-anak. Sedangkan, di luar sana, ramai yang sudah bertahun-tahun, bahkan belasan dan puluhan tahun menanti cahaya mata,”

“Berdoalah juga kepada Allah. Ya Allah Kau ganjarilah keletihan yang Kau berikan padaku hari ini dengan ganjaran yang sebaiknya. Ikhlaskanlah hatiku Ya Allah,”

Yakinlah, tarbiah dan pendidikan adalah bermula dari rumah.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

AJK Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara