Jom Hijrah Wahai Saudara-saudaraku!!

Dalam kita berniat untuk berhijrah, kadang-kadang ada angin munafik sepoi-sepoi bertiup dalam hati kita. Bisikan ke telinga sehingga akal menerbitkan rasa ingin bertangguh dan bertangguh lagi. Maka di situ mulalah perdebatan antara akal yang terbatas, hawa nafsu dan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Mengapa jadi begitu? Sedar dan bangkitlah.. dengarlah tangisan jiwa yang meronta-ronta supaya kita segera kembali kepada ALLAH. Berhijrahlah ke alam kebajikan, sekali pun kita merasa lemah. Kita harus sedar bahawa tidak ada siapa pun yang dapat mengubah nasib, sikap dan perangai kita jika kita sendiri tidak mahu berubah. Firman Allah (Al-Ra’d, sebahagian ayat 11):

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”  

Sesungguhnya perjuangan yang paling sukar adalah untuk mengubah diri sendiri. Tanya pada diri kita sendiri dari jiwa yang paling dalam, sampai bila aku harus begini? Sampai bila aku harus derhaka pada ALLAH? Sampai bila aku nak memandang serong terhadap hukum-hakam ALLAH? Apakah sampai nyawa berada di kerongkong, baru nak berubah.. bertaubat kepada ALLAH? Waktu itu sudah terlambat.. masa sudah tamat.

Ada orang yang sudah berkeinginan untuk berubah, tetapi keadaan belum mengizinkannya untuk berubah. Ada juga yang sudah mula mengubah perangai negatifnya, tetapi langsung tidak mendapat penghargaan dan perhatian dari orang sekelilingnya. Akibatnya dia merasa sia-sia berubah dan kembali kepada perangai lamanya. Dia berubah bukan kerana menuntut keredhaan ALLAH, tetapi menuntut keredhaan manusia, maka sia-sia. Ada orang berubah ke arah kebaikan secara mendadak dan ada orang berubah secara perlahan. Lambat atau cepat bukan persoalan, tetapi berhijrah ke arah kebaikan itu yang menjadi keutamaan.

Apapun pengorbanan dan penghijrahan yang kita lakukan semua itu tidak akan sia-sia jika semuanya kerana ALLAH semata-mata. Yakinlah bahawa ALLAH sentiasa menerima segala pengorbanan hamba-hambaNYA ke arah kebaikan. ALLAH tidak akan jemu memberi pahala selagi kita tidak jemu untuk berubah ke arah kebaikan. ALLAH tidak memandang hasilnya akan tetapi ALLAH memandang ikhtiar dan usaha kita. Berusahalah untuk memperbanyakkan apa yang ALLAH suka, INSHAALLAH ALLAH akan memberi apa yang kita suka mengikut kebijaksanaanNYA.

Ayuh saudaraku, berhijrahlah segera! Kerana kita tidak tahu bila ALLAH akan mengubah kita dari seorang yang bebas bergerak ke sana ke mari kepada seorang yang kaku tidak bernyawa lagi. Hargailah masa yang kita miliki saat ini, jangan bertangguh lagi. Merdekakan diri kita dari belenggu hawa nafsu dan syaitan. Turut dan ikutlah perintah ALLAH dan Rasul.. berhijrah dan bertaubatlah sebelum terlambat.

Allahualam. Salam Ma’al Hijrah 1441

Oleh
Puan Nazuha binti Suhaimi
Wanita ISMA SPU