Besarkan ‘Bigwhy’ untuk berjaya dalam Hidup

Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid merupakan seorang tokoh usahawanita dunia Islam yang sangat hebat dan dikagumi. Jasa dan sumbangan beliau pada fasa awal penyebaran Islam sangat menginspirasikan. Justeru, mengambil inspirasi dan motivasi daripada beliau, Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) tampil menganjurkan buat julung kalinya program Jejak Khadijah dengan menjemput Pengarah Urusan Asybal Playschool juga merangkap Bendahari Wanita ISMA, Puan Siti Affiza binti Mohammad.

“Resepi utama untuk berjaya dalam apa jua bidang adalah big why. Tak kisah sama ada dalam rumah tangga, kerjaya, dakwah mahupun bisnes. Kena ada big why yang kuat. Jika kita kata, nak join bisnes sekadar nak tambah income setakat RM10k sebulan, itu masih belum besar. Kena cari sebab yang lebih besar lagi. Bila dapat, InsyaAllah. Big why tu yang memacu kita ke depan,”

“Selalunya bila nak mulakan bisnes ni, macam-macam orang fikir. Orang tu tak nak beli dengan kita la. Kalau approach, orang tak nak layan, tak nak jumpa, dan macam-macam tak nak lah. Untuk melahirkan big why yang besar, seseorang tu hanya perlu fikirkan apa yang dia nak sahaja. Jauhi fikiran negatif. Secara tak langsung, minda separa sedar akan membantu kita mencapai objektif yang diingini,” katanya lagi.

Puan Siti Affiza binti Mohammad juga turut berkongsi dengan para peserta, apabila berjumpa atau bercakap dengan seseorang, pastikan kita melakukan tiga perkara. Iaitu, mendidik, memberi inspirasi dan memberi motivasi. Hal ini, tidak hanya terbatas pada urusan bisnes sahaja. Bahkan, turut melibatkan segenap aktiviti seharian kita yang melibatkan hubungan sosial dengan masyarakat.  Beliau turut berkongsi teknik mempengaruhi seseorang. Teknik ini turut terpakai dalam keluarga, kerjaya dan juga dakwah.

“Ada dua kunci utama yang boleh digunakan untuk mempengaruhi orang lain. Iaitu membina repo dan percaya. Untuk dapatkan repo yang baik dengan klien, kita  boleh aplikasikan teknik SAHABAT,”

“S merujuk kepada salam. Bagi salam kepada klien dan sebut namanya tiga kali dalam tempoh seminit. A adalah aju soalan yang berkaitan dengan klien tersebut. H, hadiahkan senyuman dan pujian. Manusiakan sukakan pujian. A, anggukkan kepala. Sambil bertanya, sambil anggukan kepala. Secara tak langsung, seseorang itu akan mengiyakan apa yang diajukan. B adalah bahasa badan. Ia merangkumi perkataan, tona suara dan bahasa badan. A seterusnya adalah anak mata. Mata tidak pernah menipu. Setiap pandangan anak mata sama ada ke atas, ke bawah, ke kiri mahupun ke kanan memberi signal bahawa seseorang itu adalah individu yang visual, audio digital, auditori atau kinestetik. Jadi, kita boleh mengesani mereka melalui bahasa karakter mereka. T yang terakhir adalah tiru gaya iaitu secara cepat dan bersahaja. Apabila, teknik SAHABAT ini berjaya diaplikasikan dengan baik, insyaAllah klien akan dapat dipengaruhi dengan baik,”

Oleh Nur Husnuzzan Azizan

AJK Biro Komunikasi & Multimedia (BKOM)

ISMA Seberang Perai Utara