Belia Cergas untuk Negara

BUTTERWORTH, 1 Muharram 1441H, Ahad – Pemuda dan pemudi adalah penentu masa depan sesebuah negara. Bertepatan dengan langkah kerajaan Malaysia menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) tampil berperanan untuk membina jati diri muslim yang unggul sedari usia persekolahan.

Melalui penganjuran Karnival Sukan Remaja Muslim (KASRIM) 2019, KRIM Pulau Pinang membawakan mesej bahawa belia mestilah cergas untuk negara dan ummah. Program berlangsung meriah di dua tempat bagi edisi lelaki dan perempuan iaitu di Sunway Sports Centre, Seberang Jaya dan Vision Park, Bertam. Kira-kira 98 orang pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar Pulau Pinang dan Kulim berjaya menyertai KASRIM kali ini.

Dengan konsep Running Iman yang mengambil inspirasi dari sebuah rancangan TV popular, peserta perempuan mempamerkan wajah ceria walaupun dicabar minda dan fizikal mereka dengan 5 permainan interaktif. Ini membuktikah bahawa permainan berbentuk ilmiah juga menyeronokkan.

Edisi lelaki pula menampilkan Liga Futsal. 10 pasukan bertanding antaranya Qudwah Hasanah FC, Sunika JR, Underdog FC, Lek Lau, Cik Wan FT, Nakoba FC dan Penanti FC, masing-masing memberikan saingan sengit bagi merebut gelaran juara.

Liga semakin rancak apabila pemegang tempat kedudukan tertinggi kumpulan A dan B, Sunika JR A bertemu Sunika JR B di perlawanan akhir. Gelaran juara liga futsal berjaya dimiliki Sunika JR A dengan kemenangan gol 4-3, membawa pulang RM300, medal emas dan sijil juara. Tempat kedua oleh Sunika JR B dan tempat ketiga dianugerahkan kepada Cik Wan FT.

Salah seorang peserta, Muhammad Farid Danial bin Zulhelmy dari SMK Jelutong berkongsi, “Saya dapat kenal kawan-kawan dari sekolah lain dan rapatkan ukhuwah. Program ini juga mengajar saya untuk menutup aurat di mana berada, walaupun ketika bermain sukan”.

“Kami yakin aktiviti yang dianjur dapat menggilap potensi dan kemahiran anak-anak muda. Kami harap remaja yang mengikuti KRIM Pulau Pinang menjadi pelajar yang berbeza dan ‘outstanding’ tidak kira di sekolah atau di luar”, ucap Encik Ammar Azhar, Pengarah KRIM Pulau Pinang dalam ucapan perasmiannya.

“KRIM Pulau Pinang berterima kasih kepada semua pihak terutamanya guru sekolah atas kerjasama yang diberikan dan berharap program sebegini diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang”, tambahnya.

Oleh
Siti Zulaihah Karim dan Mus’ab Ishak
Wartawan KRIM Pulau Pinang