Kita Merdeka Semai Erti Kemerdekaan Buat Generasi Cilik

24 Zulhijjah, Sungai Dua – Bulan Ogos sangat sinonim sebagai bulan kemerdekaan. Namun begitu, bahangnya kurang menyerlah terutamanya di kalangan generasi muda. Justeru itu,  Kelab NAZIM  (Kelab Anak-anak Hebat) Seberang Perai Utara tampil lagi pada kali ini, dengan tema Kita Merdeka selari dengan objektifnya untuk menyemai semangat cintakan negara sedari kecil.

Program ini telah berlangsung pada Sabtu yang lalu bertempat di Surau Al-Ittihad, Kulim Perdana dan Surau Al-Furqan,Taman Sri Indah. Manakala, pada Ahad baru-baru ini telah diadakan di Masjid Kapitan Keling. Program sebegini mendapat penerimaan yang sangat baik melibatkan 22 orang peserta di Kulim, 17 di Bertam dan 18 orang di George Town terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun. Program berjalan seperti  yang dirancang iaitu seawal jam 8:30 pagi dan berakhir pada jam 12:30 tengahari.

Menariknya pada kali ini, para peserta mendeklamasikan sajak kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik, membuat puzzle tokoh kemrdekaan serta mendapat pengisian mengenai erti kemerdekaan. Bahkan, mereka turut mengerjakan solat Dhuha secara berjemaah.

Pentazkirah di Masjid Kapitan Keling, saudara Muhamad Fareez Abdullah, semasa berkongsi dengan para peserta  berkata, “Merdeka yang sebenar dalam Islam bermaksud membebaskan diri daripada kekufuran,”

“Sebagai Muslim, kita benar-benar merdeka apabila tanah air tidak dijajah dan bebas beribadat atau mengabdikan diri kepada Allah. Contohnya, kisah sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Bilal bin Rabah. Kita dapat lihat bagaimana cekal dan tabahnya Bilal mempertahankan akidahnya walaupun diseksa agar kembali kepada kekufuran sebelum dimerdekakan oleh Saidina Abu Bakar,”ujarnya.

 “Merdeka, bukan setakat kibarkan bendera atau laungan ‘merdeka’ semata. Tetapi, jiwa yang merdeka ialah jiwa yang bebas untuk taat kepada Allah dan meninggalkan kekufuran,” ujarnya lagi.

Sementara itu, di Surau Al-Ittihad Kulim Perdana pula, Ustazah Wan Nor Anisah Wan Abdullah berkata, “Kemerdekaan yang sebenar adalah bilamana kita mengusir syaitan daripada menjajah hati-hati kita. Dengan baca  dan hafaz al-Quran, maka ini adalah salah satu cara untuk bakar syaitan yang menapak dalam hati,” ujarnya.

Selari dengan itu, ayat yang dihafal oleh peserta NAZIM pada kali ini adalah ayat 256 Surah Al-Baqorah yang bermaksud “Tidak ada paksaan untuk memasuki agama Islam; sesungguhnya telah jelas yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,”

Oleh Nur Husnuzzan bt Azizan

Wartawan ISMA Seberang Perai Utara