Karnival Sukan Nazim hidupkan kembali sukan tradisional dalam generasi muda

KEPALA BATAS, 1 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Era globalisasi pada hari ini, anak-anak mudah terdedah dengan gejala yang kurang sihat disebabkan oleh beberapa faktor. Keadaan ini amat membimbangkan para ibu bapa kerana ia memberi impak negatif kepada masa depan anak-anak. Justeru, Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) Pulau Pinang tampil menganjurkan Karnival Sukan NAZIM Pulau Pinang 2019 bagi memupuk minat anak-anak dengan menceburi aktiviti berfaedah sedari kecil dalam biah yang baik.

Karnival ini berlangsung meriah pada Sabtu lalu bertempat di SMK Bertam Indah. Dimulakan dengan perbarisan bertemakan ‘Pahlawan Melayu’, sambutan diterima amat memberangsangkan. Seramai 120 anak-anak berumur 7 hingga 12 tahun menjadi peserta merangkumi 3 kawasan dari NAZIM Syukbah Kulim, Bertam dan Tanjong. Masing-masing memilih nama pahlawan ulung, iaitu Mat Kilau, Hang Tuah dan Tok Janggut.

Yang Dipertua ISMA Seberang Perai Utara, Ustaz Abdul Rahim Sudin, dalam ucapan perasmiannya berkata, “Tahun ini ISMA membuat sedikit kelainan tidak seperti karnival sukan yang lain. Di sini, kita pelopori semula sukan tradisional, sukan dari zaman dulu-dulu seperti congkak, galah panjang dan sebagainya”.

“Tujuannya adalah untuk menghidupkan kembali sukan ini dalam masyarakat. Khususnya buat generasi muda. Secara tak langsung, berupaya menghubungkan generasi hari ini dengan generasi lalu yang telah banyak berkorban untuk negara ini”, tambahnya.

Permainan tradisional lain yang dipertandingkan adalah tarik tali, tuju tin, tarik upih, kasut tempurung, tuju guli, boling kelapa dan batu seremban. Bahkan, ibu bapa turut dilibatkan bersama bermain dalam musang berjanggut dan raja topi.

Menurut beliau lagi, permainan tradisional patut diketengahkan sebagai suatu alternatif bagi menggantikan ketagihan gajet hari ini yang merosakan sosial, ekonomi dan keakraban institusi kekeluargaan. Anak-anak diajar bermain secara fizikal di luar dan kerjasama dengan kawan-kawan. Ia bukan sahaja lebih menyeronokkan, bahkan membantu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah berbanding permainan gajet dan atas talian.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa yang berada di rumah, guru-guru serta masyarakat untuk sama-sama menghidupkan kembali permainan tradisional yang tak lapuk dek zaman dan tak lekang dek masa ini”, ujar Ustaz Abdul Rahim.

Melabuhkan tirai karnival pada jam 1.30 tengah hari, YDP ISMA SPU, Ustaz Abdul Rahim Sudin semasa perasmian penutup melahirkan ucapan terima kasih kepada ketiga-tiga ketua kontinjen kerana telah berjaya memimpin pasukan anak-anak Nazim yang mantap kali ini.

Oleh Nur Husnuzzan Azizan
Wartawan ISMA Seberang Perai Utara