Jangan Memfitnah Wanita Beriman

SEBERANG JAYA, 24 Zulkaedah 1440H, Sabtu – “Jangan kita tergesa-gesa. Baru nampak, tak bukti lagi terus mengatakan perbuatan itu adalah zina dan terus viralkan peristiwa tersebut.”

Begitulah antara perkongsian Ustazah Norhayati Abdul Wahab kepada kira-kira 40 orang peserta pada Usrah Wanita pada 27 Julai 2019 yang diadakan di surau At-Taqwa, Taman Sembilang.

Sebagai seorang umat Islam, kita perlu berhati-hati apabila menerima sesuatu berita. Perbuatan memfitnah seorang terlibat dalam zina adalah suatu perbuatan yang sangat dilaknat Allah di dunia dan akhirat apatah lagi apabila yang difitnah itu adalah seorang wanita yang beriman.

Perbuatan ini dilarang seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat 23 hingga 26 yang mengisahkan tentang kisah fitnah kepada Saidatina Aisyah r.a. Jika tuduhan itu tidak benar atau tidak terbukti, hukuman yang berat seperti sebat akan dikenakan kepada si penuduh.

Akhir sekali, Al-Quran memberi motivasi kepada kita untuk menjadi seorang yang baik agar memperoleh jodoh yang baik. Semoga kita dapat mengelakkan perbuatan yang dilaknat Allah ini dan lebih berhati-hati dalam menerima dan menyampaikan maklumat agar tidak tergolong dalam mereka yang membuat fitnah.

Oleh
Nasruna Anhar Nordien
Wartawan Wanita ISMA SPU